Farm Fresh perkukuh pemakanan sihat dan keyakinan murid menerusi PSS

Sumber: Harian Metro
Farm Fresh perkukuh pemakanan sihat dan keyakinan murid menerusi PSS
Gambar: Harian Metro

GEORGE TOWN: Farm Fresh Berhad komited menggalakkan amalan pemakanan sihat serta membina keterampilan dan keyakinan diri murid menerusi Program Susu Sekolah (PSS), kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya, Azmi Zainal.

Beliau berkata, keterampilan penting dalam membentuk murid yang holistik, berkeyakinan tinggi dan berdaya saing, selain membantu menangani masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Menurutnya, pencapaian akademik sahaja tidak mencukupi kerana murid juga perlu berupaya membawa diri, berkomunikasi dan mengaplikasikan kemahiran dalam kehidupan sebenar.

Azmi berkata demikian sempena Gala Hari Susu Sekolah Sedunia 2026 di Majika Penang Convention Centre (MPCC), Pulau Pinang. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, turut hadir pada majlis itu.

Beliau berkata, sambutan tahunan itu diadakan untuk meraikan murid sekolah dan menyambut Hari Susu Sekolah Sedunia bersama masyarakat di seluruh dunia. Pada masa sama, ia memberi penghargaan kepada pihak yang memastikan bekalan susu sampai kepada murid setiap hari.

“Yang paling penting, kami mahu menghargai semua yang bekerja di belakang tabir bagi memastikan murid menerima bekalan susu di sekolah setiap hari bukan tugas yang mudah,” katanya.

Farm Fresh turut meraikan usahawan penghantarannya yang memastikan susu dihantar ke sekolah terlibat, termasuk sekolah di kawasan pedalaman yang jauh dan sukar diakses.

PSS dilaksanakan di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membantu menangani isu kekurangan zat makanan dalam kalangan murid B40. Farm Fresh memperoleh kontrak bekalan bagi tempoh 2025–2030, meliputi hampir 80 juta pek susu UHT tanpa perisa setahun.

Syarikat itu dilantik menerusi tender terbuka untuk membekalkan susu di lima zon: Zon 4 (Kelantan), Zon 5 (Terengganu dan Pahang), Zon 6 (Perlis dan Kedah), Zon 7 (Pulau Pinang dan Perak) serta Zon 8 (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya).

Azmi berkata beberapa inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat turut dilaksanakan sempena sambutan itu, dengan Tetra Pak Malaysia sebagai rakan strategik bagi agenda kelestarian alam sekitar. Kitar semula menjadi fokus baharu Farm Fresh melalui pengumpulan kotak susu PSS terpakai, manakala Tetra Pak menyokong usaha itu dengan bahan pendidikan dan aktiviti kesedaran di sekolah menerusi program “Kotak Jadi Taman”.

Antara inisiatif lain ialah Dermasiswa Pelajar B40 STPM berjumlah RM500,000 pada 2026 untuk 500 pelajar Tingkatan Enam B40. Farm Fresh turut memperuntukkan RM420,000 bagi Kelas Tuisyen Bijak Mengira untuk 500 murid terpilih dan menyediakan bekalan susu percuma di 10 sekolah setiap tahun. Program Smartboard Percuma Prasekolah bernilai RM200,000 pula melibatkan 28 sekolah.