Faizal bertekad bantu Speedy Tigers cipta kejutan ke atas Australia

KUALA LUMPUR: Pemain berpengalaman negara, Faizal Saari berjanji akan memberikan sepenuh jiwa dan raganya untuk membantu Speedy Tigers menewaskan Australia pada final Piala Sultan Azlan Shah 2026, esok.
Walaupun Australia berada di ranking ketiga dunia, Faizal percaya kelebihan beraksi di laman sendiri mampu menyuntik semangat skuad kebangsaan untuk memburu kejayaan bersejarah. “Australia di ranking ketiga dunia tetapi kita bermain di laman sendiri. Apa sahaja boleh berlaku dan kami akan berikan sepenuh jiwa dalam aksi final nanti,” katanya.
Speedy Tigers mara ke perlawanan penentuan selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Pakistan 5-5 dalam aksi penuh dramatik. Faizal memainkan peranan penting dalam kebangkitan itu apabila meledak hatrik, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan 11 gol.
Namun, penyerang itu tidak menganggap kejayaan pasukan sebagai hasil usaha individu. Sebaliknya, beliau menyifatkan semangat juang dan sokongan rakan sepasukan sebagai faktor utama yang membantu mereka melangkah ke final.
“Apabila saya ada peluang, saya akan gunakan sebaik mungkin. Saya pun tidak sangka dapat menjaringkan dua gol dalam tempoh yang amat pantas, saya cuma berikan yang terbaik buat pasukan,” katanya.