Pakar gesa sistem pendidikan dikaji sebelum murid enam tahun wajib masuk Tahun Satu

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan digesa menggunakan tempoh pendaftaran secara sukarela bagi kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu pada 2027 dan 2028 untuk menilai serta memperbaiki kelemahan sistem pendidikan sebelum dasar itu diwajibkan pada 2029.
Effendi Ewan Matore dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, penilaian perlu merangkumi mutu kurikulum, kesediaan guru, prasarana sekolah dan kaedah pengajaran yang memenuhi keperluan perkembangan kanak-kanak berusia enam tahun.
“Kita juga perlu menilai keupayaan negara dari segi mutu kurikulum, kesediaan guru, prasarana sekolah dan pendekatan pengajaran yang akan digunakan,” katanya kepada FMT.
Pada Selasa, Ketua Pengarah Pendidikan Azam Ahmad berkata kanak-kanak berusia enam tahun boleh mendaftar ke Tahun Satu secara sukarela pada 2027 dan 2028, sebelum kemasukan pada usia itu diwajibkan pada 2029.
Effendi berkata sistem pendidikan ketika ini masih berorientasikan akademik, sedangkan kanak-kanak enam tahun memerlukan pembelajaran berasaskan permainan serta sokongan yang sesuai dengan tahap perkembangan mereka. Menurutnya, kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun boleh dilaksanakan, namun kaedah pengajaran perlu disesuaikan supaya kanak-kanak yang masih berkembang dari segi sosial dan emosi tidak dibebani tekanan akademik.
Beliau turut meminta kementerian mengambil kira perbezaan tahap kematangan kanak-kanak, khususnya antara mereka di kawasan bandar dan luar bandar. Pilihan untuk memulakan persekolahan pada usia enam atau tujuh tahun, katanya, boleh mewujudkan persaingan tidak langsung dalam kalangan ibu bapa dan tanggapan bahawa murid yang mula lebih awal mempunyai keupayaan akademik lebih tinggi.
“Tanpa penilaian kematangan dan akses menyeluruh kepada pendidikan prasekolah untuk kanak-kanak berusia lima tahun, dasar wajib itu berisiko melebarkan jurang antara murid bandar dan luar bandar serta memberi tekanan emosi kepada kanak-kanak yang belum bersedia.
“Kementerian perlu menilai kelebihan dan kekurangan dasar itu, sambil memastikan kurikulum menekankan pembentukan sahsiah dan nilai sejak usia awal,” katanya.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kebangsaan, Ali Hassan, menyambut baik cadangan itu, namun berkata sistem pendidikan perlu mempunyai persediaan mencukupi. Sekolah, katanya, memerlukan prasarana yang mencukupi serta kurikulum dan program kokurikulum yang sesuai bagi memastikan semua murid mendapat pendidikan holistik dan saksama.
Beliau berkata tempoh dua tahun itu boleh digunakan ibu bapa dan penjaga untuk membuat keputusan bermaklumat. Pada masa sama, sekolah perlu memastikan prasarana dan kemudahan bersedia sebelum kemasukan wajib pada usia enam tahun bermula pada 2029.
Ali turut mencadangkan semua kanak-kanak mengikuti pendidikan prasekolah berasaskan piawaian kebangsaan dan kurikulum kebangsaan. Pendaftaran awal bagi kemasukan 2029, katanya, boleh membantu menganggarkan jumlah kanak-kanak yang bakal memasuki Tahun Satu. Beliau juga menggesa kajian dijalankan untuk mengenal pasti bilangan kanak-kanak yang tidak mendapat akses kepada pendidikan prasekolah.