Met Office: Hari fros musim sejuk berkurang, hari panas musim panas meningkat

LONDON: Bilangan hari musim sejuk yang mencatat fros di United Kingdom (UK) berkurang, manakala hari panas pada musim panas semakin kerap, menurut analisis baharu Met Office yang menunjukkan perubahan ketara pada corak musim negara itu.
Dalam dekad hingga 2025, jumlah hari musim sejuk dengan fros udara di seluruh UK kira-kira suku lebih rendah berbanding tempoh 1961 hingga 1990. Fros udara berlaku apabila suhu udara turun kepada 0 darjah Celsius atau lebih rendah.
Di selatan England, pengurangan hari berfros itu kira-kira satu pertiga. Pada masa sama, purata jumlah hari musim panas di UK dengan suhu mencapai 25 darjah Celsius meningkat lebih dua kali ganda.
Met Office mengaitkan perubahan musim itu dengan perubahan iklim. “Musim panas kita semakin panjang dan musim sejuk semakin pendek,” kata Dr James Pope, saintis iklim di Met Office.
Beliau berkata pemanasan iklim global menjadi pendorong perubahan berkenaan dan turut memberi kesan kepada UK. Sesetengah kawasan, katanya, beralih daripada mengalami musim sejuk paling basah kepada kemarau teruk selepas melalui musim panas yang memecahkan rekod di seluruh negara.
Perubahan keadaan cuaca turut menjejaskan hidupan liar dan mendorong sebahagian petani menanam tanaman berbeza. Di England, Wales dan Ireland Utara, antara pengurangan terbesar dicatatkan, dengan purata hari musim sejuk berfros berkurang kira-kira 11 hari berbanding tempoh rujukan.
Di selatan England, perubahan juga ketara. Purata hari musim sejuk berfros di Cornwall hampir separuh, daripada kira-kira 18 hari kepada hanya 10 hari.
Di Isle of Wight, jumlah itu turut berkurang hampir separuh, daripada kira-kira 21 kepada 11 hari. Scotland kekal sebagai negara UK yang paling banyak mengalami fros, namun puratanya juga turun daripada kira-kira 45 kepada 38 hari musim sejuk.
Hari musim panas dengan suhu mencecah 25 darjah Celsius semakin lazim di seluruh UK. Kenaikan antara yang terbesar berlaku di selatan England, apabila purata hari sedemikian meningkat lebih dua kali ganda, daripada sedikit melebihi lapan kepada lebih 16 hari.
Di Essex dan Suffolk, jumlah hari dengan suhu sekurang-kurangnya 25 darjah Celsius meningkat hampir 13 hari di setiap daerah. Met Office mentakrifkan hari panas sebagai hari apabila suhu mencapai 30 darjah Celsius atau lebih tinggi.
Di seluruh UK, purata bilangan hari panas itu meningkat empat kali ganda, daripada 0.3 kepada 1.2 hari bagi setiap musim panas. Kenaikannya lebih ketara di Greater London, dengan purata hari bersuhu 30 darjah Celsius meningkat daripada 1.3 kepada 6.1 bagi setiap musim panas.
Data awal Met Office menunjukkan musim panas 2026 ialah yang paling panas dalam rekod. Dalam tempoh itu, UK mengalami lima gelombang haba yang meluas serta 40 hari dengan suhu melebihi 30 darjah Celsius, mengatasi rekod sebelumnya sebanyak 34 hari.
Thomas Crocker, pengurus sains dalam pasukan keselamatan iklim Met Office, berkata manusia, haiwan dan tanaman kini berdepan suhu ekstrem yang belum pernah dialami sebelum ini. Keadaan itu, katanya, menjadi cabaran fisiologi kepada ketiga-tiganya.
Crocker berkata perubahan cuaca turut membawa cabaran berkaitan air. Musim sejuk yang basah menimbulkan masalah dalam kerja penanaman, selain meningkatkan masalah perosak dan penyakit, manakala musim panas yang kering menyebabkan bekalan air tidak mencukupi untuk tanaman.
John Walgate, ketua pegawai eksekutif British Growers, yang mewakili kebanyakan organisasi hortikultur British yang menanam sayur-sayuran dan buah-buahan, berkata kesan terhadap sektor itu amat besar dan menjejaskan semua tanaman.
Beliau berkata cuaca tahun ini sangat mencabar bagi tanaman keluarga kubis seperti bunga kubis, kubis dan brokoli, dengan hasil merosot kira-kira 50 peratus. Tanaman yang memerlukan pengairan, termasuk bawang, kentang dan lobak merah, turut terjejas akibat kekurangan air berikutan hujan rendah dan suhu panas.
Namun, Walgate berkata tidak semua hasil terjejas. Buah-buahan lembut seperti strawberi mencatatkan “tahun yang baik”.
Tim Young, yang keluarganya mengusahakan ladang di Norfolk sejak 1960-an, berkata tanaman ladangnya—bawang, gandum dan bit gula—menghadapi kesukaran berikutan musim panas yang lebih panas dan kering serta kurangnya hari sejuk pada musim sejuk yang boleh membunuh serangga perosak.
Dengan hasil sesetengah tanaman merosot, Young mencari cara untuk mempelbagaikan pendapatan ladang dan menanam kebun anggur tiga tahun lalu. Tahun lalu, hasil anggurnya dua kali ganda daripada jumlah yang dijangka.
“Dengan perubahan iklim, sempadan kawasan yang sesuai untuk penanaman anggur bergerak lebih jauh ke utara,” katanya. Walaupun cuaca berubah-ubah setiap tahun, Young yakin usaha itu boleh memberikan keuntungan.
Corak cuaca yang berubah turut mengalihkan kawasan tempat spesies hidup serta masa haiwan berhijrah, membiak dan mencari makanan, kata Zoe Quiroz Cullen, ketua iklim dan dasar antarabangsa di badan amal The Wildlife Trusts.
Musim sejuk yang lebih panas menyebabkan kelawar terjaga daripada hibernasi ketika serangga yang boleh dimakan masih terlalu sedikit. Amfibia yang muncul dan bertelur lebih awal pula boleh terjejas apabila suhu kembali turun secara mendadak.
Musim bunga yang lebih panas juga menyebabkan pokok oak mengeluarkan daun lebih awal daripada kebiasaan, manakala ulat menetas lebih cepat. Populasi burung UK merosot sejak beberapa dekad lalu, sebahagian besarnya akibat kehilangan habitat dan perubahan iklim.
Burung jalak dan burung layang-layang berkurangan dengan ketara. Namun, musim sejuk yang lebih sederhana serta usaha pemuliharaan membantu sesetengah spesies berkembang.
Kevin Anderson, pegawai pengalaman pelawat di Somerset Wildlife Trust, sudah bekerja di Avalon Marshes selama 15 tahun dan menyaksikan perubahan kehidupan burung di kawasan itu. Tiga hingga empat dekad lalu, katanya, bangau putih jarang ditemui di utara Mediterranean.
Kini, Avalon Marshes menjadi habitat kepada populasi bangau putih besar yang semakin bertambah. Burung itu mendapat manfaat daripada musim sejuk lebih panas, yang membolehkannya menangkap ikan sepanjang tahun.
Burung berkenaan mula membiak di Somerset pada 2012, dengan hanya dua sarang. Tahun lalu, kira-kira 73 anak burung dilahirkan di Avalon Marshes, manakala populasinya kini dianggarkan sekitar 200 ekor.
Perubahan iklim, yang sebahagian besarnya berpunca daripada pembakaran bahan api fosil, meningkatkan suhu purata di UK. Ahli sains iklim menganggarkan tahap pemanasan global semasa berada 1.4 darjah Celsius melebihi paras praindustri.
Met Office menjangkakan perubahan musim di UK akan berterusan apabila suhu meningkat. Jika pemanasan global mencapai dua darjah Celsius melebihi paras praindustri, UK mungkin mengalami purata kira-kira 24 hari fros udara pada musim sejuk, berbanding 38 hari dalam tempoh 1961 hingga 1990.
Purata hari dengan suhu mencapai 25 darjah Celsius pula boleh meningkat kepada kira-kira 15 bagi setiap musim panas, berbanding sedikit melebihi empat hari dalam tempoh terdahulu.
Crocker berkata cuaca UK pada tahun-tahun akan datang tetap berubah-ubah. “Masih akan ada musim panas yang lebih sejuk dan musim sejuk yang lebih kering, tetapi garis asasnya sudah berubah,” katanya.
Beliau menjangkakan lebih banyak cuaca panas ekstrem dan hari panas yang memecahkan rekod, sementara kemungkinan UK mengalami cuaca sejuk ekstrem akan berkurang. Kajian Met Office turut menunjukkan musim panas berlanjutan ke musim luruh, dengan kemungkinan jumlah hujan pada musim luruh berkurangan pada masa depan.
Bagaimanapun, Dr Pope berkata UK akan terus mempunyai empat musim yang berbeza. Analisis itu dijalankan ketika Met Office memulakan kerjasama baharu dengan BBC untuk membekalkan data cuaca bagi ramalan, selain memberikan pandangan dan kepakaran tambahan mengenai perubahan iklim.