Enam hari menelusuri tarikan Dieng dan Yogyakarta

Lebih 65 penuntut jurusan pengurusan pelancongan dan pemasaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), bersama pensyarah, menyertai program International Tourism Mobility selama enam hari di Dieng dan Yogyakarta, Indonesia. Lawatan itu menggabungkan aktiviti pelancongan dengan peluang menimba pengetahuan dalam bidang pengajian masing-masing.
Dieng, di Wonosobo, menjadi destinasi pertama rombongan selama tiga hari dua malam sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Yogyakarta. Selepas beberapa jam menaiki kenderaan pelancong, kumpulan itu menginap di Horison Dieng Resort, dalam suasana sejuk dengan suhu sekitar 18 darjah Celsius.
Keesokan harinya, Puncak Sikunir menjadi lokasi pertama untuk meneroka kawasan Dieng. Suhu rendah menyebabkan kebanyakan pelancong dan penduduk tempatan memakai pakaian tebal, termasuk jaket dan sarung tangan.
Antara tarikan utama di puncak itu ialah panorama matahari terbit yang dikelilingi lautan kabus dan awan. Pemandangan sinaran matahari dalam suasana dingin menjadi antara pengalaman yang masih segar dalam ingatan penulis dan rakan-rakannya.
Sebelum bergerak ke destinasi seterusnya, rombongan menikmati soto ayam dan teh panas. Mereka kemudian melawat Kawah Sikidang, yang terbentuk akibat letusan gunung berapi dan masih aktif.
Kawah itu mempunyai telaga air panas serta mengeluarkan asap sulfur. Pelancong digalakkan memakai pelitup muka ketika berkunjung kerana bau dari kawasan kawah berkenaan agak kuat.
Rombongan turut menjejakkan kaki ke Candi Arjuna, kompleks candi bersejarah dan antara yang tertua di kawasan itu. Candi berkenaan digunakan sebagai tempat beribadat penganut Hindu dan masih dijaga rapi, selain mempunyai kisah sejarah tersendiri.
Destinasi terakhir di Dieng ialah Taman Langit Dieng, yang menawarkan pemandangan kampung serta langit menarik. Konsep Instagrammable di taman itu turut menggunakan elemen ilusi sebagai tarikan kepada pengunjung tempatan dan luar negara.
Selepas aktiviti di Dieng, kumpulan itu meneruskan perjalanan ke Yogyakarta dan menginap di SwissBelexpress Hotel. Mereka kemudian melawat Candi Borobudur, tempat ibadat penganut Buddha yang berbeza daripada Candi Arjuna.
Lebih 150 anak tangga perlu dinaiki untuk meneroka candi berkenaan. Penuntut UMT, termasuk penulis, juga perlu menukar kasut kepada selipar khas yang dikenali sebagai Upanat sebagai tanda menghormati kawasan itu. Struktur serta ukiran pada dinding candi menyimpan pelbagai cerita dan sejarah pembinaannya.
Lawatan sambil belajar itu turut melibatkan kerjasama dengan Universitas Negeri Yogyakarta (UNY) dan Universitas Gadjah Mada (UGM). Kedua-dua universiti itu terletak dalam jarak 10 hingga 15 minit berjalan kaki antara satu sama lain.
Penuntut jurusan pengurusan pelancongan UMT melawat UNY, manakala penuntut jurusan pemasaran mengunjungi UGM. Peluang itu dimanfaatkan untuk berkongsi ilmu antara pensyarah UNY dengan penuntut pengurusan pelancongan UMT, serta dalam kalangan penuntut pemasaran.
Selepas lawatan ke universiti, rombongan dibawa ke Candi Prambanan, yang turut menyimpan sejarah silam penganut Hindu. Walaupun jadual lawatan padat, mereka juga berkunjung ke Pantai Timang dan menyertai Merapi Tour, dua lokasi terakhir dalam program di Yogyakarta.
Perjalanan ke Pantai Timang memerlukan rombongan menaiki jip kerana jaraknya yang agak jauh dan keadaan tanah yang tidak rata untuk dilalui bas mini atau van. Pengalaman menaiki jip menjadi sebahagian daripada tarikan lawatan, selain pemandangan laut dan ombak yang dinantikan.
Pantai Timang menawarkan perkhidmatan gondola yang pernah dinaiki artis Korea Lee Kwang Soo, bekas ahli Running Man, untuk menyelesaikan satu misi terdahulu. Namun, kekangan masa menyebabkan rombongan tidak berpeluang menaiki gondola atau jambatan kayu. Pemandangan laut tetap menjadi kenangan dan bahan rakaman kamera mereka.
Merapi Tour di Gunung Merapi pula menjadi antara aktiviti yang paling dinantikan sejak hari pertama di Yogyakarta. Rombongan menaiki jip ke tiga lokasi berbeza, bermula dengan Muzium Petilasan Mbah Maridjian, yang menerangkan sejarah letusan Gunung Merapi pada 2010.
Lokasi kedua ialah Bunker Kaliadem, tempat perlindungan kecemasan daripada awan panas Gunung Merapi. Kawasan itu dikaitkan dengan tragedi pada 2006. Dalam aktiviti Merapi Tour, penuntut juga perlu memakai baju hujan ketika jip meredah trek air Kali Kuning di Kaliurang.
Sebelum pulang ke Malaysia, rombongan meluangkan masa mencari ole-ole di beberapa kedai dan pasar, termasuk Pasar Beringharjo, Plaza Jalan Borobudur dan Pasar Ngasem. Antara pilihan yang dibawa pulang ialah bakpia, kain sarung, baju batik dan gelato yang tular.
Selepas membeli-belah, penulis dan rakan-rakan menikmati bakso serta es teh di tepi landasan kereta api, berhampiran warung Mie Ayam Bakso Pakde Wonogiri di Kulon Progo. Mereka menyaksikan kereta api bergerak laju di hadapan warung itu sebelum menuju ke Lapangan Terbang Yogyakarta.
Bagi penulis dan kebanyakan rakan yang pertama kali menjejakkan kaki ke negara jiran itu, enam hari berkelana meninggalkan pelbagai pengalaman. Banyak lagi kisah lawatan yang boleh dikongsikan, namun kenangan sepanjang program itu kekal sebagai milik penulis dan rakan-rakannya.