Emma Maembong terharu bakat lakonan dihargai, impi trofi FFM

KUALA LUMPUR: Pelakon Emma Maembong meluahkan rasa terharu apabila bakat lakonannya menerima pujian warganet dan dihargai penonton selepas lebih sedekad dalam bidang seni tanah air. Emma, atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 34, berkata dia tidak menyangka ada pihak melihatnya sebagai pelakon yang berpotensi melangkah lebih jauh dalam industri perfileman.
Katanya, selama ini tumpuannya hanya kepada kerja lakonan dan dia tidak terlalu memikirkan sejauh mana bakatnya dinilai orang lain. Pujian daripada penonton, bagaimanapun, membuatkan dia menghargai usaha yang dicurahkan selama ini.
“Manisnya, apabila mendengar komen positif seperti itu daripada penonton. Saya tidak sangka sampai ke tahap itu. Terima kasih kepada sesiapa yang memberikan komen terbabit kerana saya sangat menghargainya,” katanya.
Emma berkata, apabila seseorang melakukan perkara yang sama setiap hari, termasuk berlakon secara berterusan, pekerjaan itu boleh terasa biasa. Namun, dia bersyukur apabila usaha yang dilakukannya selama ini mendapat perhatian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada acara ‘watch party’ drama Suamiku Anak Mak yang bersiaran di Astro, di sebuah hotel di Bukit Jalil, malam tadi. Emma ialah pemenang Kebangsaan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik (National Winner - Best Actress in a Leading Role) menerusi naskhah Seadanya Kita pada Anugerah Kreatif Akademi Asia (AACA) 2026.
Mengulas sokongan orang di sekelilingnya, Emma berkata dorongan mereka membantunya supaya tidak terlalu merendahkan kemampuan diri dan berani meneroka peluang lebih besar. Bagaimanapun, dia masih menganggap dirinya pelakon biasa yang perlu terus belajar serta memperbaiki prestasi lakonan.
Ditanya mengenai impian meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM), Emma berkata pengiktirafan itu pastinya menjadi keinginan setiap pelakon.
“Sudah tentu. Pelakon mana yang tidak pernah teringin menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik FFM? Setahu saya, saya tidak pernah tercalon pun dalam FFM. Kalau dapat peluang itu, sudah tentu saya sangat bersyukur. Rasanya, kalau mendapat jemputan ke acara FFM pun saya sudah bersyukur,” katanya.
Dalam pada itu, Emma mengakui berdepan ketakutan berada di atas pentas atau ‘stage fright’ sehingga tidak berani menjadi penyampai anugerah. Dia lebih selesa berlakon di hadapan kamera berbanding membuat persembahan atau tampil secara langsung di pentas.
“Pada usia sekarang pun, saya masih tidak mahu keluar daripada zon selesa dan masih begini lagi,” katanya.
Sebelum ini, lakonan Emma dalam drama menerima pujian pengikut di Threads, yang menyifatkannya layak bergelar primadona dan sudah tiba masanya untuk melangkah lebih jauh ke layar perak.