Ecuador, AS semak operasi ketenteraan bersama
ECUADOR dan Amerika Syarikat mengadakan perbincangan untuk menyemak operasi bersama di negara Amerika Selatan itu, selepas Washington menggantung operasi berkenaan sementara menunggu siasatan terhadap satu operasi oleh tentera Ecuador. Menteri Dalam Negeri Ecuador, John Reimberg, berkata pada Rabu bahawa perbincangan minggu lalu antara Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth dengan Presiden Ecuador Daniel Noboa di Quito, Ecuador, berlangsung secara produktif.
Menurut Reimberg, perbincangan itu menghasilkan “pelan tindakan yang ditetapkan” antara Ecuador dengan AS. Dalam temu bual radio, beliau berkata ada pihak yang mahu hubungan kedua-dua negara, yang menurutnya telah membawa banyak hasil positif, terjejas.
Penggantungan operasi bersama itu menyusul kebimbangan tentang kemungkinan jenayah atau pencabulan hak asasi manusia oleh tentera Ecuador dalam operasi pada 23 September. Operasi itu mengorbankan Carlos German Munoz Jara, yang menurut pegawai merupakan anggota kanan kumpulan samseng. The New York Times melaporkan bahawa siasatan sedang dijalankan berhubung operasi tersebut.
Operasi itu dipercayai berkait dengan usaha membanteras pengedaran dadah dan perlombongan haram. Pada Mac, Noboa mengumumkan operasi bersama AS dan sekutu lain, dengan menyifatkan usaha itu sebagai “fasa baharu” dalam memerangi kegiatan berkenaan.
Pangkalan Udara Taura di Ecuador kemudian dilaporkan menyaksikan penempatan luar biasa anggota tentera dan pesawat AS. Noboa berkata anggota AS berada di pangkalan itu hanya untuk “aktiviti sementara” sebagai sebahagian kerjasama antara kedua-dua negara. Beliau menafikan AS mempunyai pangkalan tentera di Ecuador, sambil berkata: “Kami bekerjasama. Itu bukan pangkalan Amerika.”
Noboa melaksanakan dasar tegas terhadap kumpulan samseng. Di bawah pentadbirannya, Ecuador membina penjara berskala besar ketika negara itu berusaha menangani peningkatan keganasan berkaitan dadah. Kemudahan pertama, yang dibuka pada November 2025, dimodelkan berdasarkan Pusat Kurungan Keganasan El Salvador (CECOT) dan mampu menempatkan 800 banduan.