Korea Utara arah pejabat diplomatik Switzerland di Pyongyang ditutup

Sumber: Al Jazeera

Kerajaan Switzerland pada Rabu menyatakan kekesalan terhadap keputusan Korea Utara menutup pejabat diplomatiknya di Pyongyang, hanya beberapa minggu selepas Bern membuka semula pejabat itu di ibu negara berkenaan.

Jabatan Hal Ehwal Luar Persekutuan Switzerland berkata pihaknya dimaklumkan secara rasmi pada Rabu mengenai keputusan pihak berkuasa Korea Utara. Kementerian itu berkata ketua pejabat berkenaan akan kembali ke Kedutaan Switzerland di Beijing.

Ketegangan tercetus selepas Switzerland memasukkan Kem Kanak-kanak Antarabangsa Songdowon di Korea Utara ke dalam senarai sekatannya. Langkah itu dibuat berhubung dakwaan negara-negara Barat bahawa kem berkenaan terlibat dalam pemindahan kanak-kanak dari kawasan Ukraine yang diduduki Rusia.

Pada Selasa, Korea Utara mengecam tindakan Switzerland itu dan menyifatkannya sebagai permusuhan terbuka. Negara itu turut memberi isyarat akan mempertimbangkan penutupan pejabat diplomatik Switzerland di Pyongyang.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Korea Utara yang disiarkan agensi berita rasmi Korean Central News Agency (KCNA), ketua pejabat diplomatik Switzerland, Sylvain Astier, dipanggil untuk menerima memorandum yang menggesa pejabat itu ditutup.

Kementerian berkenaan mengisytiharkan Astier sebagai persona non grata dan mengarahkannya meninggalkan negara itu dalam tempoh 48 jam. KCNA melaporkan bahawa Korea Utara menolak tindakan yang dianggap melanggar hak kedaulatannya serta kepentingan rakyatnya.

Pengusiran itu berlaku kurang sebulan selepas Menteri Luar Switzerland, Ignazio Cassis, merasmikan pembukaan semula pejabat diplomatik negara itu di Pyongyang.

Jabatan Hal Ehwal Luar Persekutuan Switzerland mempertahankan dasar sekatannya pada Selasa, dengan menyatakan tindakan itu tidak berkaitan dengan pembukaan semula pejabat. Kementerian itu berkata pejabat tersebut dibuka semula selaras dengan dasar luar Switzerland yang universal, bagi mengekalkan saluran dialog termasuk dengan negara yang mempunyai perbezaan pendirian.

Kim Yo Jong, adik perempuan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un yang berpengaruh, berkata sekatan itu mencabuli kedaulatan negaranya kerana menafikan kewajipan Korea Utara untuk menyediakan peluang kebudayaan dan rekreasi kepada kanak-kanak.

Pada hujung minggu lalu, Kim Jong Un menerima watikah daripada duta baharu 10 negara, termasuk Rusia dan Sweden, dalam satu upacara diplomatik yang jarang diadakan di Pyongyang. Beliau berkata Korea Utara mahu meluaskan hubungan dengan negara yang menghormati kedaulatannya, namun akan menentang usaha menyekat hak bebas dan hak pembangunan negara berdaulat.

Switzerland menjalin hubungan diplomatik dengan Korea Utara pada 1974 dan merupakan antara segelintir negara Barat yang mengekalkan dialog dengan negara itu. Kim Jong Un dan Kim Yo Jong dilaporkan pernah bersekolah di Switzerland ketika remaja pada 1990-an.

Korea Utara pula semakin rapat dengan Rusia berhubung perang di Ukraine. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara itu menghantar ribuan anggota tentera dan bekalan senjata dalam jumlah besar bagi menyokong pencerobohan besar-besaran Rusia, yang mungkin sebagai pertukaran untuk bantuan dan pemindahan teknologi ketenteraan.