Dua pekerja cedera dalam letupan dan kebakaran kilang di Kerteh
KEMAMAN – Dua pekerja cedera dalam kejadian letupan dan kebakaran di tempat simpanan sisa minyak industri sebuah kilang pemprosesan dan kitar semula sisa berjadual di Taman Biopolimer, Kerteh, malam tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, PgKB I Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.28 malam. Operasi pemadaman kemudian digerakkan dengan bantuan empat balai bomba, iaitu Kerteh, Paka, Kijal dan Chukai.
Mangsa ialah lelaki tempatan, Mohd Khairul Azuan Rashid, 40, yang mengalami kecederaan di kepala, serta warga Bangladesh, Md Abdul Alim, 38, yang melecur di beberapa bahagian badan.
Menurut Shahrin, letupan berlaku sebelum api merebak dan membakar tong-tong dram yang disimpan berhampiran relau. Ketika kejadian, seramai 15 pekerja sedang bekerja di kilang yang memproses dan memulihkan sisa minyak industri serta pelarut untuk dijadikan produk guna semula itu.
Operasi memadam kebakaran melibatkan 48 anggota, 13 jentera pelbagai jenis dan logistik sokongan. Kebakaran memusnahkan kira-kira 80 peratus tempat simpanan sisa minyak yang berukuran 27 meter panjang dan 21 meter lebar.
Shahrin berkata, kebakaran minyak terpakai itu dipadam menggunakan sumber air daripada pili bomba dan tangki air, dengan empat aliran hos sepanjang 400 kaki. Anggota bomba turut menggunakan pancutan air bercampur buih pemadam api untuk mengawal serta memadamkan kebakaran.
Kebakaran berjaya dikawal pada 10.57 malam, manakala operasi ditamatkan pada 5.14 pagi. Kedua-dua mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Paka untuk mendapatkan rawatan lanjut.