Dua pekerja cedera dalam letupan dan kebakaran di kilang Kerteh

KEMAMAN: Dua pekerja cedera dalam kejadian letupan yang disusuli kebakaran di tempat simpanan sisa minyak industri sebuah kilang pemprosesan dan kitar semula sisa berjadual di Taman Biopolimer, Kerteh, malam tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu PgKB I Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.28 malam. Operasi pemadaman kemudian digerakkan dengan membabitkan empat balai bomba, iaitu Kerteh, Paka, Kijal dan Chukai.
Menurutnya, seorang pekerja tempatan, Mohd Khairul Azuan Rashid, 40, mengalami kecederaan di kepala, manakala pekerja warga Bangladesh, Md Abdul Alim, 38, melecur di beberapa bahagian badan.
“”Mangsa cedera selepas berlaku letupan sebelum api merebak dan mencetuskan kebakaran pada tong-tong dram yang disimpan berhampiran relau di tempat berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Ketika kejadian, seramai 15 pekerja berada di kilang yang memproses dan memulihkan sisa minyak industri serta pelarut untuk dijadikan produk guna semula itu.
Shahrin berkata operasi melibatkan 48 anggota, 13 jentera pelbagai jenis dan logistik sokongan. Kebakaran memusnahkan kira-kira 80 peratus tempat simpanan sisa minyak berukuran 27 meter panjang dan 21 meter lebar.
Pasukan bomba menggunakan sumber air daripada pili bomba dan tangki air, dengan empat aliran hos sepanjang 400 kaki. Anggota turut menggunakan pancutan air bercampur buih pemadam api untuk mengawal serta memadam kebakaran minyak terpakai itu.
Kebakaran berjaya dikawal pada 10.57 malam, manakala operasi ditamatkan pada 5.14 pagi. Kedua-dua mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Paka untuk menerima rawatan lanjut.