Polis buka dua kertas siasatan terhadap Tony Pua dan Khoo Poay Tiong

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan terhadap bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, berhubung dua isu berasingan yang tular di media sosial.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan terhadap Tony berkaitan hantaran Facebook yang mengandungi maklumat penyahklasifikasi dokumen pengampunan Datuk Seri Najib Razak. Sebanyak 55 laporan diterima berhubung hantaran berkenaan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, katanya.
Khoo pula disiasat berhubung hantaran tular mengenai arahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) supaya premis perniagaan ditutup ketika solat Jumaat di Kuala Terengganu. Mohd Khalid berkata, dua laporan polis diterima berhubung kenyataan Ahli Parlimen itu.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Khalid, kedua-dua siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Beliau berkata, siasatan masih berjalan dan orang ramai diingatkan agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses berkenaan. PDRM turut memberi amaran supaya semua pihak tidak membangkitkan isu 3R, iaitu agama, kaum dan institusi diraja, dalam apa jua bentuk yang boleh menjejaskan keamanan serta keharmonian masyarakat.
Mohd Khalid berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pihak yang sengaja membuat atau menyebarkan kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam.