Dua kajian perkahwinan bawah umur dijangka selesai awal 2027

Sumber: Astro Awani
Dua kajian perkahwinan bawah umur dijangka selesai awal 2027
Gambar: Astro Awani

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang menjalankan dua kajian mengenai perkahwinan bawah umur di Malaysia yang dijangka selesai pada awal 2027.

Kajian pertama dilaksanakan dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia bagi menilai keberkesanan Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur 2020-2025.

Kajian kedua pula dijalankan oleh Institut Sosial Malaysia (ISM) dengan tajuk “Perkahwinan Bawah Umur di Malaysia: Faktor Risiko, Faktor Pelindung dan Strategi Pencegahan”.

Menurut KPWKM, kajian itu menilai pelaksanaan strategi oleh agensi terlibat, mengenal pasti faktor risiko dan pelindung serta meneliti jurang pelaksanaan dan langkah pencegahan yang perlu diperkukuh. Hasil kajian akan digunakan untuk menentukan tindakan susulan yang lebih berfokus dan berasaskan bukti.

Perkara itu dinyatakan kementerian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis). Beliau bertanya sama ada kerajaan bersedia menggubal undang-undang untuk mengharamkan semua perkahwinan membabitkan kanak-kanak perempuan berusia bawah 18 tahun tanpa pengecualian.

KPWKM berkata, selepas kedua-dua kajian dimuktamadkan, dapatan berkenaan akan membantu kementerian mengenal pasti jurang pelaksanaan, menetapkan keutamaan tindakan susulan bersama agensi berkaitan dan meneliti keperluan sumber dengan lebih khusus.

Usaha menangani perkahwinan kanak-kanak tetap diteruskan sepanjang kajian dijalankan menerusi Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan 2026-2030, menurut kementerian itu.

Tumpuan kerajaan terhadap hak kanak-kanak perempuan termasuk memastikan akses dan pengekalan dalam pendidikan, maklumat serta perkhidmatan kesihatan yang bersesuaian. Usaha itu turut meliputi perlindungan daripada keganasan dan eksploitasi serta sokongan kepada keluarga yang berdepan kesukaran sosioekonomi.

Kementerian berkata bidang berkenaan penting untuk mengurangkan faktor yang boleh meningkatkan risiko perkahwinan kanak-kanak. Pandangan dan pengalaman kanak-kanak perempuan juga akan diambil kira dalam merancang serta menambah baik tindakan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.