Dua beradik maut dalam nahas motosikal di Pasir Mas

Sumber: Harian Metro
Dua beradik maut dalam nahas motosikal di Pasir Mas
Gambar: Harian Metro

PASIR MAS: Dua beradik maut manakala abang mereka cedera selepas motosikal yang dinaiki terbabas dan merempuh tiang lampu di Kampung Bechah Tendong, di sini, pada 1.45 tengah hari tadi.

Muhammad Saiful Haider Saifulnizam, 10, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala adiknya, Muhammad Saiful Hayyan, 6, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu. Abang mereka, Muhammad Saiful Haikal, 18, turut menerima rawatan di hospital sama.

Ketika kejadian, Muhammad Saiful Haikal dikatakan dalam perjalanan menjemput Muhammad Saiful Haider dari sekolah bersama adiknya. Motosikal yang ditunggang mereka dipercayai terbabas sebelum merempuh tiang lampu di tepi jalan.

Saksi, Mohd Rosli Awang Ngah, 47, berkata beliau terdengar bunyi kuat sebelum melihat motosikal itu melanggar pagar dan hampir memasuki kedai makannya yang terletak berhampiran.

“ Saya terus keluar dari kedai dan ternampak seorang kanak-kanak lelaki berlumuran darah di tepi pagar dan seorang lagi tidak jauh darinya, manakala remaja yang juga abang mereka kelihatan terpinga-pinga,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Rosli berkata, beliau mengambil payung untuk menutup tubuh seorang daripada kanak-kanak itu daripada hujan. Menurutnya, kanak-kanak yang memakai seragam sekolah itu tidak bergerak dan orang ramai mengajarnya mengucap.

Beliau berkata, Muhammad Saiful Haikal sempat memberitahu orang awam bahawa dirinya pening ketika ditanya, dan berkemungkinan mengalami patah tulang.

Ibu saudara mangsa, Noor Zuhanisya Mohd Noor, 35, berkata beliau segera ke lokasi selepas dimaklumkan ahli keluarga mengenai kejadian itu. Ketika tiba, hanya Muhammad Saiful Haider berada di situ, manakala Muhammad Saiful Hayyan dan Muhammad Saiful Haikal sudah dibawa ke hospital.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi.