Sindiket dadah guna pesawat tentera 21 kali seludup syabu bernilai RM156 juta

KUALA LUMPUR: Sindiket yang turut membabitkan beberapa anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggunakan aset tentera sebanyak 21 kali untuk menyeludup syabu seberat tiga tan, dengan nilai pasaran dianggarkan RM156 juta, sebelum kegiatannya terbongkar minggu lalu.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata sel sindiket di Tawau menggunakan aset tentera sebanyak tujuh kali bagi membawa masuk 1.8 tan syabu. Sementara itu, sel di Labuan menggunakan aset berkenaan 14 kali untuk menyeludup 1.2 tan dadah.
Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket itu sudah beroperasi selama beberapa tahun. Saifuddin menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan Ronald Kiandee (PN-Beluran) di Dewan Rakyat mengenai cara penyeludup dapat menggunakan aset TUDM untuk membawa dadah.
“Ini membabitkan sindiket besar yang sudah bertapak. Sebahagian anggotanya sudah ditahan, didakwa dan dipenjarakan. Yang lain masih bebas,” katanya ketika sesi soal jawab menteri.
Saifuddin berkata siasatan berpotensi mendedahkan rangkaian jenayah terancang yang lebih luas dan beberapa individu berprofil tinggi juga mungkin dikenakan tindakan. Beliau menegaskan, mereka yang ditahan tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Menurutnya, polis mungkin mempertimbangkan siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma. Buat masa ini, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Saifuddin berkata polis mula mengumpul risikan pada Januari dan berkongsi hasilnya dengan Angkatan Tentera Malaysia pada September dan Oktober. Maklumat itu membawa kepada operasi pada 17 Nov, yang menyaksikan lima pegawai TUDM, dua anggota lain-lain pangkat serta enam orang awam ditahan.
Dalam operasi itu, polis turut merampas 96.64 kilogram syabu yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta pada harga pasaran. Ketua sindiket sudah dikenal pasti, namun masih bebas.
Siasatan awal, kata Saifuddin, mengesahkan suspek mempunyai akses kepada anggota tentera serta kaitan dengan operasi penerbangan. Polis kini memperluas siasatan bagi mengenal pasti pihak yang membiayai, merancang dan melaksanakan operasi penyeludupan itu.
Minggu lalu, Menteri Pertahanan Khaled Nordin mendedahkan pemeriksaan bagasi rutin di pangkalan udara Subang membawa kepada penemuan lima beg dan sebuah kotak berisi dadah, selain penahanan lima pegawai TUDM.