Penggantungan tiga atlet Kenya akibat doping termasuk juara maraton Jepchirchir

Sumber: Sinar Harian

Pelari maraton Kenya, Peres Jepchirchir, antara atlit wanita paling berjaya dan juara dunia bertahan, dikenakan penggantungan tiga tahun atas kesalahan doping, bersama dua lagi pelari negara itu, menurut pengumuman Unit Integriti Olahraga (AIU) pada Khamis. Penggantungan itu menjejaskan reputasi Kenya sebagai kuasa besar dalam larian jarak jauh, menurut laporan daripada Anadolu Ajansi (AA) yang memetik kenyataan pihak berkuasa.

Jepchirchir, berusia 33 tahun, memenangi pingat emas maraton pada Sukan Olimpik 2021 dan juga menjuarai empat perlumbaan maraton utama dunia iaitu New York pada 2021, Boston pada 2022, London pada 2024 serta Sydney pada Ogos 2026. AIU memaklumkan bahawa atlet itu mengaku melanggar peraturan antidoping selepas diuji positif bagi erythropoietin (EPO), bahan terlarang yang meningkatkan keupayaan darah membawa oksigen dan daya tahan.

Keputusan perlumbaannya mulai 17 Julai dibatalkan, termasuk kemenangannya dalam Maraton Sydney. Tindakan disiplin itu juga dikenakan terhadap dua lagi atlet Kenya, Veronica Loleo, pemenang pingat perak Kejohanan Larian Jalan Raya Dunia 2026, yang digantung tiga tahun selepas diuji positif EPO, serta pelari Ronald Korir, 35, yang digantung enam tahun selepas keabnormalan dalam pasport biologinya menunjukkan penggunaan bahan doping.

Jepchirchir dan Loleo masing-masing menerima pengurangan tempoh penggantungan selepas mengaku melakukan pelanggaran berkenaan. Ketua Eksekutif AIU, Brett Clothier, memberi amaran bahawa kes terbaharu itu mencerminkan cabaran berterusan dalam usaha Kenya memerangi penggunaan bahan terlarang untuk meningkatkan prestasi atlet. Beliau berkata pihak berkuasa Kenya telah berikrar memperkukuh agensi antidoping negara itu dan mengambil tindakan tegas terhadap rangkaian jenayah yang memudahkan kegiatan doping.