Bekas pengurus dan pemain Treble 2012 terajui kepimpinan baharu KAFA

KOTA BHARU: Bekas pengurus dan pemain The Red Warriors (TRW) yang meraih Treble 2012 mendominasi kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang dihidupkan semula hari ini. Naib Presiden 1 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Rosmadi Ismail, mengisi jawatan Presiden KAFA, manakala bekas pengurus TRW, Azman Ibrahim, dilantik sebagai timbalan presiden dan Setiausaha Agung KAFA.
Antara bekas pemain pada era treble itu yang turut memenangi jawatan Exco ialah Mohd Daudsu Jamalludin dan Mohd Nor Farhan Muhammad. Pelakon Syed Kamaruzaman Syed Mahmood, atau Syed Aiman, turut berada dalam senarai kepimpinan persatuan itu.
Semua pelantikan disahkan menerusi Kongres Luar Biasa KAFA yang dirasmikan Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan, dan dipengerusikan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman. Kongres yang berlangsung selama empat jam itu turut menetapkan tiga Naib Presiden, iaitu Amin Zubair Muhamad, Khabir Sufi Burhanuddin dan Mohd Shukry Pauzi, selain 10 ahli Exco.
Jawatan Bendahari disandang Khazly Khalid, dengan Mohammad Yusri Ismail sebagai timbalannya. Mohd Zuki Deraman dilantik sebagai Timbalan Setiausaha, manakala Arif Hassan menjadi Setiausaha Eksekutif.
Rosmadi berkata, kehadiran bekas pemain dan pengurusan pasukan yang mencatat kejayaan Treble 2012 mampu meningkatkan keyakinan penyokong, khususnya peminat bola sepak Kelantan, terhadap usaha mengembalikan kegemilangan pasukan negeri itu.
Beliau berkata, kejayaan lalu boleh menjadi sumber inspirasi, namun kepimpinan baharu perlu memberi tumpuan kepada usaha mencipta pencapaian pada masa depan. “Saya setuju kadang-kadang nostalgia ini boleh membawa kejayaan jugalah, yang penting kita nak ulang kejayaan, yang lepas tu glory (kejayaan) kita boleh ingat tapi jangan ingat lama-lama lah, kita cipta kejayaan untuk masa akan datang,” katanya.
Kongres itu dipantau FAM dan dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) serta ahli gabungan KAFA. Ahli gabungan berkenaan ialah Persatuan Bolasepak Jajahan Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Jeli, Machang, Pasir Puteh dan Bachok, serta Persatuan Bolasepak India Kelantan.
KAFA kembali bernafas selepas digantung sebagai ahli gabungan oleh FAM berkuat kuasa 23 Disember 2024, susulan pemilihan jawatankuasa eksekutif dan kongres yang dianggap tidak sah. Rosmadi berkata pemulihan persatuan akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan keutamaan diberikan kepada pengurusan dan pentadbiran.
Kepimpinan baharu juga akan berusaha memulihkan struktur pentadbiran yang terjejas susulan penggantungan selama dua tahun, selain menetapkan sasaran pencapaian bagi tempoh 100 hari pertama. Fasa pemulihan turut merangkumi pembangunan akar umbi, termasuk bakat baharu, pengadil dan jurulatih, serta usaha memperkasakan bola sepak wanita seperti disarankan Presiden FAM.
Dalam perkembangan lain, Rosmadi mengucapkan tahniah kepada bekas jurulatih Kelantan, Bojan Hodak, yang dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.