Guru disiplin di Tawau dipenjara dua tahun atas serangan seksual tanpa sentuhan

TAWAU: Seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah di Tawau, Sabah, dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan selepas disabitkan melakukan serangan seksual tanpa sentuhan terhadap seorang pelajar berusia 17 tahun pada 2022.
Mahkamah Sesyen Tawau menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap lelaki berusia 37 tahun itu atas kesalahan mengikut Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, lapor Harian Metro. Hakim Ahmad Faizadh Yahaya kemudian menjatuhkan hukuman penjara setahun lagi serta dua sebatan mengikut Seksyen 16 akta sama kerana tertuduh melakukan kesalahan sebagai individu yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa.
Tertuduh didakwa mengeluarkan kata-kata lucah kepada pelajar itu serta memegang dan menarik tangannya bagi tujuan seksual di perpustakaan sekolah kira-kira 9.20 pagi pada 19 April 2022.
Dalam kes berasingan, mahkamah membebaskan tertuduh daripada pertuduhan melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap seorang lagi pelajar berusia 17 tahun. Kesalahan itu didakwa berlaku di perpustakaan sekolah kira-kira tengah hari pada 15 Februari 2022.
Ahmad Faizadh berkata pihak pembelaan menimbulkan keraguan munasabah berhubung sama ada tertuduh mempunyai akses ke perpustakaan pada waktu serangan itu didakwa berlaku. Penafian tertuduh disokong dokumen yang menunjukkan beliau ditugaskan memeriksa kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ketika itu.