Disangka pendatang tanpa dokumen, lelaki 24 tahun rupanya warganegara
TAWAU - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu membebaskan serta-merta seorang pemunggah barang yang sebelum ini menjalani hukuman penjara lima bulan kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen sah, selepas identitinya disahkan sebagai warganegara negara ini.
Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos mengetepikan sabitan dan hukuman Mahkamah Sesyen Tawau terhadap Azlanshah Mahathir, 24, yang dijatuhkan pada 20 Oktober lalu. Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan semakan jenayah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fillany Siji.
Mahkamah turut mengarahkan nama lelaki itu, yang sebelum ini direkodkan sebagai ‘Azlan Shah Mahadir’, diperbetulkan kepada nama sebenarnya dalam semua rekod mahkamah dan dokumen berkaitan.
Permohonan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 323 dan 325 Kanun Tatacara Jenayah susulan pengesahan identiti serta kewarganegaraannya oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Surat Jabatan Penjara Malaysia Tawau bertarikh 5 November lalu kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna memaklumkan hasil semakan cap jari biometrik lelaki itu dengan JPN Daerah Tawau.
Semakan tersebut mengesahkan nama sebenarnya ialah Azlanshah Mahathir dan dia merupakan warganegara Malaysia. Berikutan pengesahan itu, pihak pendakwaan menyatakan lelaki berkenaan tidak melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, sekali gus menjadikan pertuduhan dan sabitan terhadapnya tidak sah.
Azlanshah sebelum ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Tawau atas pertuduhan memasuki Malaysia tanpa pas masuk sah yang dikeluarkan mengikut Seksyen 10 Akta Imigresen 1959/63. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bermula tarikh dia ditangkap pada 11 Oktober lalu, selain memerintahkan supaya dia dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran selepas tamat hukuman.
Dia kemudian dibawa ke Penjara Pusat Tawau untuk menjalani hukuman sebelum pihak pendakwaan mengemukakan permohonan semakan yang membawa kepada pembebasannya.