Rosmadi jadikan 100 hari pertama asas pemulihan KAFA

Sumber: Sinar Harian

KOTA BHARU: Kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan menggunakan tempoh 100 hari pertama untuk menentukan hala tuju dan langkah pemulihan badan induk itu selepas hampir dua tahun digantung.

Presidennya, Datuk Seri Rosmadi Ismail, berkata tempoh itu akan digunakan untuk mengenal pasti tindakan yang perlu diambil serta perkara yang mampu dicapai sebelum pelan pemulihan dilaksanakan secara berfasa.

Beliau berkata keutamaan awal adalah memperkemaskan pentadbiran KAFA, termasuk sistem pengurusan dan prosedur operasi standard (SOP), sebelum perhatian diberikan kepada pembangunan bola sepak negeri.

“Kita perlu melihat dalam tempoh 100 hari ini apa yang perlu dibuat, apa yang mampu dilaksanakan dan apa yang boleh dicapai,” katanya.

Rosmadi berkata beliau dan barisan Exco telah berbincang mengenai perkara yang boleh dilaksanakan dalam tempoh berkenaan. Perancangan itu akan diperhalusi dalam mesyuarat pertama Exco.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Kongres Luar Biasa KAFA di sini pada Khamis.

Selepas aspek pentadbiran diperkemas, proses pemulihan akan diteruskan melalui beberapa fasa. Pembangunan akar umbi serta bakat pemain, pengadil dan jurulatih antara perkara yang akan diberi keutamaan.

Menurut Rosmadi, penggantungan yang berlarutan hampir dua tahun menyebabkan banyak aktiviti persatuan terbantut. Kepimpinan baharu, katanya, perlu mengembalikan peranan KAFA sebagai badan yang bertanggungjawab membangunkan bola sepak Kelantan.

“Kita sebenarnya mempunyai jurulatih yang baik, pengadil yang baik dan pemain yang baik. Saya rasa itulah tugas utama KAFA pada hari ini,” katanya.

Mengulas amanah menerajui persatuan itu, Rosmadi mengakui tanggungjawab berkenaan besar, lebih-lebih lagi dengan harapan penyokong agar bola sepak Kelantan kembali bangkit.

Bagaimanapun, beliau menegaskan jawatan itu bukan satu kemegahan, sebaliknya tanggungjawab untuk membina semula bola sepak negeri dengan sokongan pelbagai pihak.

“Jika bercakap mengenai tekanan, kita tidak akan berada di sini. Kita semua mempunyai minat dan kesungguhan yang tinggi untuk memulihkan bola sepak Kelantan,” katanya.

Beliau yakin kerjasama barisan Exco, Timbalan Presiden, Pengerusi Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat membantu usaha memulihkan serta membangunkan semula KAFA.

Rosmadi berkata kepimpinan baharu tidak mahu menjanjikan kejayaan segera kerana menyedari cabaran besar yang perlu ditangani. Namun, beliau percaya kerjasama dan kekuatan pasukan dapat memudahkan usaha pemulihan itu.