Cukai jalan EV purata 85 peratus lebih rendah berbanding kenderaan ICE

KUALA LUMPUR: Kadar baharu Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan elektrik (EV) atau kenderaan sifar pelepasan (ZEV), yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu, secara purata 85 peratus lebih rendah berbanding kadar untuk kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).
Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata penetapan kadar lebih rendah itu bertujuan menggalakkan pengguna beralih kepada kenderaan tanpa pelepasan karbon. Kenyataan bertulis kementerian itu disiarkan di laman web Parlimen.
Sehingga Ogos lalu, sebanyak 174,686 kenderaan elektrik didaftarkan. Motokar membentuk jumlah terbesar, iaitu 130,229 unit atau 74.6 peratus daripada keseluruhan pendaftaran.
MOT menjelaskan kadar LKM bagi kenderaan persendirian berbeza berdasarkan sistem kuasa. Bagi kenderaan ICE, pengiraan dibuat mengikut kapasiti enjin dalam sentimeter padu, manakala kuasa motor dalam watt menjadi asas bagi kenderaan elektrik. Kadarnya meningkat seiring dengan pertambahan kuasa motor elektrik.
Mohd Azizi Abu Naim (BEBAS-Gua Musang) meminta Menteri Pengangkutan menyatakan sama ada kerajaan bersedia menstruktur semula kadar cukai jalan EV dengan mengambil kira segmen, prestij dan prestasi kenderaan, selain kapasiti kuasa motor dalam kilowatt.
Menjawab perkara itu, kementerian berkata secara umum kuasa motor elektrik yang lebih tinggi berkait dengan harga belian yang lebih mahal serta kenderaan yang lebih besar dan berat. Justeru, kuasa motor digunakan sebagai asas penetapan kadar LKM bagi EV, manakala struktur sedia ada ditetapkan berdasarkan kajian menyeluruh.