Cuci pinggan hujung minggu demi tambah pendapatan

KLANG: Seorang ibu tunggal, Nurdiyana Zulkefli, 32, mengambil upah mencuci pinggan di sebuah gerai pada setiap hujung minggu sejak tiga bulan lalu bagi menambah pendapatan dan menyara tiga anaknya.
Nurdiyana yang bekerja tetap sebagai eksekutif sokongan jualan berkata, pendapatan daripada pekerjaan tetapnya tidak mencukupi selepas komitmen bulanan dan hutang dibayar. Antara perbelanjaan yang perlu ditanggungnya ialah rumah, motosikal serta keperluan anak-anaknya yang berumur dua, lima dan tujuh tahun.
“ Niat saya nak tambah pendapatan menyara anak selain bantu emak dengan ayah kerana tak nak jadi beban sesiapa,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, peluang bekerja di gerai rakannya itu diperoleh selepas seorang rakan mencari pencuci pinggan. Pada awalnya, rakannya terkejut apabila Nurdiyana memohon pekerjaan berkenaan, namun beliau bersyukur kerana diterima bekerja.
Katanya, dia tidak kisah melakukan apa-apa pekerjaan selagi sumber rezeki itu halal. Ketika di bangku sekolah, Nurdiyana pernah bekerja di sebuah restoran makanan segera kerana tidak mahu bergantung kepada ibu bapanya.
Kerja sambilan itu bermula dari 6.30 pagi hingga 12.30 tengah hari pada setiap Sabtu dan Ahad. Nurdiyana berkata, jadual berkenaan tidak mengganggu masa serta komitmennya terhadap pekerjaan tetap.
“Saya dapat gaji harian iaitu RM60 sehari dan kawan sebagai pemilik gerai juga tak berkira, malah sangat baik kerana beri saya makan juga,” katanya.
Sepanjang bekerja, anak-anaknya ditinggalkan di bawah jagaan ibu bapanya atau individu terdekat buat sementara waktu. Nurdiyana berkata, anak sulungnya juga memahami keadaan itu dan boleh diharap membantu menjaga adik-adiknya.
Beliau berkata bekas suaminya ada memberikan keperluan anak-anak. Namun, sejak melakukan dua pekerjaan, beliau dapat membeli barang yang dihajati anak-anaknya.
Nurdiyana akan meneruskan kerja itu selagi terdaya, dengan keutamaan menampung keperluan anak-anak dan melangsaikan hutang. Beliau berkata tidak bercadang mencari kerja sambilan lain buat masa ini kerana selesa bekerja sebagai pencuci pinggan, walaupun ada yang tidak percaya apabila diberitahu mengenai pekerjaan itu.
Sebelum ini, beliau turut mengambil tempahan menyediakan makanan infaq dan pencuci mulut seperti kek batik serta brownies. Bagaimanapun, pendapatan daripada tempahan itu tidak menentu kerana bergantung kepada jumlah pesanan, menyebabkan beliau perlu mencari ikhtiar lain untuk menambah pendapatan.