Cubaan hantar e-mel dokumen sulit PETRONAS gagal kerana saiz lampiran terlalu besar

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini diberitahu hari ini bahawa cubaan menghantar e-mel berhubung dokumen sulit milik PETRONAS kepada dua pegawai kanan PETROS gagal kerana saiz lampiran terlalu besar. Juruanalisis Kanan Digital Forensik di CyberSecurity Malaysia, Abdul Wafi Abdul Rahman, berkata dapatan itu hasil analisis forensik terhadap pelayan e-mel PETRONAS di Menara Berkembar PETRONAS pada 24 Januari tahun lalu.
Menurut Abdul Wafi, cubaan penghantaran e-mel itu dilakukan oleh bekas Pengurus Prestasi Unit Perniagaan PETRONAS, Mohd Khairul Akmal Mohd Jasni, kepada Ketua Pegawai Eksekutif PETROS, Datuk Janin Girie, dan Ketua Pegawai Kewangan PETROS, Azha Jalil Abdul Jalil. “Pemeriksaannya juga mendapati terdapat notifikasi kegagalan penghantaran e-mel berkaitan dokumen terbabit berpunca akibat saiz lampiran yang melebihi had yang ditetapkan sistem,” katanya.
Saksi berkata pemeriksaan ke atas komputer riba Mohd Khairul Akmal tidak menemui e-mel sama pada peranti itu. “Berdasarkan dapatan ini, saya berpendapat terdapat kemungkinan e-mel itu sudah dipadam oleh individu yang mempunyai akses kepada komputer riba berkenaan. Namun, saya tidak dapat mengenal pasti siapakah individu yang bertanggungjawab memadamnya,” katanya ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan kes Mohd Khairul Akmal yang didakwa cuba mendedahkan dokumen sulit PETRONAS kepada PETROS pada Jun 2024.
Abdul Wafi juga berkata beliau menemui 15 rekod ‘event logs’ yang berkaitan dengan aktiviti Microsoft Outlook pada 8 Jun 2024 yang menunjukkan penggunaan aplikasi Outlook pada tarikh tersebut. Beliau menambah, tiada petunjuk menunjukkan akses pihak ketiga ke atas komputer riba itu pada tarikh kejadian, sebaliknya tidak dapat mengesahkan mana-mana individu lain telah menggunakan peranti berkenaan.
Selain komputer riba, pegawai penyiasat Asisten Superintendan R Muruges turut menyerahkan dua telefon bimbit milik tertuduh dan seorang wanita, serta pemacu USB untuk pemeriksaan. Namun hasil pemeriksaan saksi itu tidak memperoleh kandungan asal dokumen sulit berkenaan daripada mana-mana barang kes terbabit.
Pada 18 April tahun lalu, Mohd Khairul Akmal, 41, mengaku tidak bersalah atas tuduhan cuba mendedahkan dokumen sulit berkaitan prestasi operasi dan kewangan PETRONAS kepada PETROS pada Jun 2024. Pertuduhan mengikut Seksyen 203A(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun sama, dengan hukuman maksimum denda RM1 juta atau penjara sehingga setahun jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Radzuan manakala tertuduh diwakili peguam Louis Liaw Vern Xien. Perbicaraan bersambung esok di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.