Malaysia gesa dunia perkukuh kerjasama iklim, negara maju tingkat bantuan

Sumber: Astro Awani
Malaysia gesa dunia perkukuh kerjasama iklim, negara maju tingkat bantuan
Gambar: Astro Awani

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa memperkukuh kerjasama global dalam menangani perubahan iklim, termasuk melalui peningkatan sokongan kewangan berasaskan geran daripada negara maju kepada negara membangun. Seruan itu dibuat oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Segmen Peringkat Tinggi Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-31 (COP31) di Antalya, Türkiye, hari ini.

Beliau menjelaskan usaha menentang perubahan iklim memerlukan pendekatan multilateralisme serta tindak balas global yang lebih beraspirasi, seimbang dan berteraskan pelaksanaan. Malaysia turut menyeru negara maju meningkatkan sokongan berasaskan geran kepada negara membangun yang mempunyai kepelbagaian biologi bagi memperkukuh usaha pemuliharaan hutan dan perlindungan biodiversiti. Katanya, kerjasama antarabangsa perlu menjadi pemacu lebih kukuh kepada usaha penyahkarbonan, meningkatkan daya tahan iklim serta menyokong pembangunan mampan.

Dalam pada itu, Arthur menegaskan hubungan antara tindakan iklim dan perdagangan antarabangsa memerlukan penglibatan konstruktif, seimbang dan berpandangan jauh. Beliau menekankan pembiayaan iklim serta kaedah pelaksanaan perlu sepadan dengan skala aspirasi global, selain menyediakan mekanisme lebih berkesan bagi membolehkan negara membangun melaksanakan tindakan iklim. Prinsip Tanggungjawab Bersama tetapi Berbeda serta Keupayaan Masing-masing (CBDR-RC) perlu terus menjadi asas kepada usaha kolektif menangani perubahan iklim.

Sementara itu, beliau berkata fenomena El Nino tahun ini menjadi peringatan terhadap risiko perubahan iklim, termasuk haba melampau, kemarau berpanjangan, kekurangan bekalan air serta gangguan terhadap sektor pertanian. Fenomena itu turut meningkatkan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut serta jerebu rentas sempadan. Arthur berkata Malaysia bersedia bekerjasama secara konstruktif dengan semua pihak bagi memperkukuh multilateralisme dan memajukan tindak balas global terhadap perubahan iklim.

COP31 berlangsung dari 9 hingga 20 November ini menghimpunkan pemimpin dunia, menteri, perunding, saintis dan wakil masyarakat sivil bagi membincangkan usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, penyesuaian terhadap perubahan iklim serta pembiayaan iklim. Persidangan itu bertemakan usaha menterjemahkan komitmen iklim kepada hasil yang boleh diukur, dan beliau berharap COP31 menjadi titik permulaan kepada pembaharuan komitmen global dalam merapatkan jurang pelepasan, memperkukuh daya tahan iklim serta menterjemahkan aspirasi bersama kepada kemajuan nyata demi generasi kini dan akan datang.