PAC mahu kuota minyak masak bersubsidi dikurangkan lagi

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa kerajaan mengurangkan lagi kuota minyak masak bersubsidi bagi mengelakkan lebihan bekalan yang boleh meningkatkan risiko penyeludupan dan ketirisan dalam program bernilai RM12.14 bilion itu. Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata perkara itu pada sidang media di Parlimen hari ini.
Kuota bulanan yang dikurangkan daripada 60,000 kepada 55,000 tan mulai 1 Jun masih jauh melebihi anggaran permintaan domestik antara 19,000 hingga 30,000 tan, katanya. Penilaian berkala penting bagi mencegah lebihan bekalan yang boleh membuka ruang kepada ketirisan dan penyeludupan.
Laporan PAC yang dibentangkan pada 16 Julai susulan Laporan Ketua Audit Negara 2/2025 mengenal pasti kelemahan program berkenaan dan mengemukakan lapan syor. Selepas menerima laporan tindakan susulan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 1 Okt, PAC mengadakan prosiding pada 8 Okt bersama pegawai kanan kementerian itu dan Kementerian Kewangan.
Mas Ermieyati berkata beberapa kemajuan telah dicapai, namun penambahbaikan lanjut masih diperlukan. Kos operasi pembungkus meningkat 9.63 peratus kepada RM2,982 bagi setiap tan. Sehubungan itu, kementerian disaran mempercepat audit kos bersama kilang penapis sebelum kadar subsidi dimuktamadkan.
Prosedur mengendalikan minyak masak rosak telah dilaksanakan sejak 1 Mei, namun rekod di sepanjang rantaian bekalan perlu diperiksa dengan lebih ketat bagi mengelakkan laporan stok rosak dimanipulasi. Tindakan tegas juga perlu diambil terhadap pihak yang mengalihkan minyak masak bersubsidi untuk dijadikan minyak masak terpakai.
PAC turut menyambut baik larangan menjual minyak masak paket kepada bukan warganegara serta pelaksanaan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS). Jawatankuasa itu mencadangkan sistem berkenaan disepadukan dengan MyDigital ID atau platform bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah, Budi RON95 dan Budi Diesel.
Kementerian juga diminta melaporkan keberkesanan projek rintis sebelum pelaksanaan penuh, memandangkan rekod manual di kawasan tanpa akses internet berisiko menyebabkan ketirisan. PAC menggesa kementerian berhenti bergantung pada kajian lama dan mengemukakan penilaian berkala kepada Kabinet berdasarkan harga minyak sawit mentah.
Kementerian akan menarik balik kuota pembungkusan sebanyak 1,370 tan yang diberikan kepada kilang penapis milik asing mulai 1 Jan 2027. Mas Ermieyati berkata pemindahan kuota itu kepada pengilang tempatan perlu diurus secara telus supaya rantaian pengedaran dan kestabilan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran tidak terjejas.