Angkasawan Pakistan sertai misi kru China ke stesen angkasa

BEIJING: Angkasawan Pakistan, Muhammad Zeeshan Ali, mencipta sejarah apabila menjadi warga asing pertama menyertai misi angkasa berkru China, selepas berlepas bersama dua angkasawan China menuju ke stesen angkasa Tiangong, semalam.
Roket Long March-2F berlepas pada 8.18 pagi dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di wilayah Gansu, barat laut China. Rakaman penyiar negara CCTV menunjukkan roket itu meninggalkan landasan dalam kepulan api dan asap.
Agensi Angkasa Lepas Berawak China berkata kapal angkasa berpisah daripada roket pembawa kira-kira 10 minit selepas pelancaran sebelum memasuki orbit. Agensi itu menyifatkan pelancaran berkenaan sebagai “kejayaan penuh” dan memaklumkan kru berada dalam keadaan baik.
Kru misi diketuai komander dan juruterbang kapal angkasa Tang Hongbo, dengan Wu Yi sebagai jurutera penerbangan dan Ali sebagai pakar muatan Pakistan. Ali, 40, ialah bekas juruterbang Tentera Udara Pakistan serta warga bukan China pertama yang mengunjungi stesen angkasa Tiangong.
Ali dijangka berada di stesen itu selama lima hingga 10 hari sebelum pulang ke Bumi bersama dua anggota kru Shenzhou-23 menggunakan kapal angkasa mereka. Agensi angkasa Pakistan berkata beliau akan menjalankan eksperimen di orbit, termasuk menanam mikroalga sebagai sumber berpotensi bagi makanan dan oksigen untuk misi angkasa masa depan, selain menguji kesan penerbangan angkasa terhadap biji quinoa.
Selepas memasuki orbit, kapal angkasa itu dijadual berlabuh di Tiangong, sebelum kru Shenzhou-24 menyertai tiga angkasawan yang sudah berada di stesen berkenaan. Mereka ialah Zhu Yangzhu, Lai Ka-ying dan Zhang Zhiyuan.
Lai ialah angkasawan pertama dari Hong Kong dan satu-satunya wanita di stesen itu. Ali dijadual pulang ke Bumi bersama Lai dan Zhang, manakala Zhu akan kekal di Tiangong bagi melengkapkan tempoh setahun penuh pertama China di angkasa.
China telah membelanjakan berbilion-bilion untuk program angkasanya, ketika negara itu menyasarkan untuk menghantar angkasawan ke bulan sebelum 2030. Usaha itu berlangsung ketika Amerika Syarikat turut mengejar matlamat serupa melalui program Artemis.