BYD SHARK 6 model pertama dipasang secara tempatan

Sumber: Harian Metro
BYD SHARK 6 model pertama dipasang secara tempatan
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: BYD Malaysia dan Sime Motors memulakan operasi pemasangan kenderaan secara tempatan (CKD) di Malaysia dengan memilih BYD SHARK 6 sebagai model pertama yang akan dipasang di fasiliti Inokom Corporation (Inokom), Kulim, Kedah. Perkara itu diumumkan pada majlis permulaan operasi CKD BYD di Malaysia, di sini, hari ini.

Kerjasama itu dilihat sebagai langkah penting bagi memperkukuh kehadiran jangka panjang BYD di pasaran tempatan serta membuka ruang kepada pengembangan portfolio produknya di Malaysia.

Usaha berkenaan turut menyokong aspirasi Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020), khususnya dalam membangunkan ekosistem Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV), mengukuhkan keupayaan pembuatan tempatan dan meningkatkan penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian nilai automotif.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata pelaburan pemain automotif global seperti BYD bukan sekadar membawa kenderaan dan teknologi baharu ke negara ini, malah mewujudkan persaingan sihat serta menggalakkan inovasi dalam industri automotif.

Beliau berkata kerajaan juga mahu membangunkan ekosistem yang lebih kukuh bagi menyokong peralihan industri. Usaha itu meliputi pembuatan tempatan, pembangunan bakat dan penyediaan infrastruktur, termasuk kemudahan pengecas kenderaan elektrik (EV) ultra-pantas.

“Pembangunan kemudahan dan ekosistem berkenaan penting bagi meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap penggunaan kenderaan elektrik, selain membuka peluang baharu kepada industri automotif tempatan, syarikat perniagaan dan pengguna,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid; Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma; dan Pengarah Urusan Sime Motors Southeast Asia, Jeffrey Gan.

Ma berkata Malaysia mempunyai potensi besar kepada BYD, bukan sahaja sebagai pasaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) yang semakin berkembang, malah dari segi keupayaan industri automotif, tenaga kerja mahir dan peluang pengembangan perniagaan.

Menurutnya, kemudahan pemasangan tempatan itu sebahagian daripada rancangan jangka panjang BYD untuk Malaysia. Kerjasama tersebut turut memberi tumpuan kepada usaha membina hubungan lebih rapat dengan industri tempatan.

“Langkah ini bukan hanya mengenai pemasangan kenderaan, tetapi juga usaha untuk membina kerjasama yang lebih rapat dengan industri tempatan, berkongsi teknologi dan kepakaran serta mencipta peluang bagi pemindahan ilmu dan kemahiran,” katanya.

Pemilihan SHARK 6 sebagai model pertama pemasangan CKD memperluas penyertaan BYD dalam segmen kenderaan pikap pacuan empat roda (4x4), selain membawa teknologi elektrik syarikat itu ke kategori kenderaan berbeza.

Model berkenaan diperkenalkan di Malaysia pada 2025 dan menerima maklum balas menggalakkan serta sambutan positif daripada pelanggan tempatan. Perkembangan itu membuka peluang kepada BYD untuk menjangkau kumpulan pelanggan baharu.

Operasi pemasangan akan dijalankan di Inokom, kemudahan milik Sime Motors di Kulim. Fasiliti itu mempunyai infrastruktur pemasangan kenderaan, tenaga kerja berpengalaman dan rangkaian pembekal tempatan sedia ada.

Asas operasi itu menyediakan platform kepada BYD untuk membangunkan pemasangan tempatan serta membuka peluang meningkatkan penglibatan pemain industri domestik dalam aktiviti pembuatan automotif.

Gan berkata Sime Motors mempunyai keupayaan pembuatan kukuh, tenaga kerja berkemahiran tinggi dan rangkaian pembekal tempatan yang mantap untuk menyokong pelaksanaan operasi berkenaan.

“Kekuatan berkenaan apabila digabungkan dengan kepakaran dan aspirasi BYD membolehkan kerjasama itu membuka lebih banyak peluang kepada rakan industri serta menyokong usaha Malaysia berkembang sebagai hab pembuatan automotif serantau yang berdaya saing,” katanya.