Hab Sanofi di Kuala Lumpur beralih kepada operasi serantau bernilai tinggi
KUALA LUMPUR, 26 Nov — Hab Kuala Lumpur Sanofi, syarikat biofarmaseutikal dari Perancis, berkembang daripada pusat perkhidmatan bersama yang memberi tumpuan kepada kewangan kepada operasi serantau pelbagai fungsi yang menyokong lebih 20 pasaran di Asia Pasifik dan Teluk Besar.
Hab yang ditubuhkan pada 2016 itu genap 10 tahun tahun ini. Perkembangannya mencerminkan peranan hab serantau di Malaysia yang semakin meluas, daripada tugas perkhidmatan bersama tradisional kepada kerja lebih kompleks dan khusus merentas pasaran.
Ketua Kuala Lumpur dan Chengdu — Hubs for Asia Pacific, Trudy Tan, berkata kekuatan Malaysia dari segi bakat, infrastruktur, kesalinghubungan dan pengalaman terus menyokong daya saing negara sebagai hab serantau.
Beliau berkata keupayaan menarik serta mengekalkan bakat turut membantu, namun usaha mengekalkan daya saing perlu disertai pembangunan tenaga kerja seiring pelaburan dalam teknologi.
“Pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) juga perlu disertai pelaburan terhadap warga kerja kita,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.
Tan berkata Sanofi berusaha memastikan kakitangannya bekerja bersama teknologi bagi mempercepat hasil, meningkatkan kecekapan dan memberi impak lebih besar dalam menyokong organisasi.
Dalam tempoh sedekad, skop Hab Kuala Lumpur berkembang melangkaui kewangan kepada Perkhidmatan Sumber Manusia, Perkhidmatan Pembuatan dan Bekalan, Perkhidmatan Perubatan, Perkhidmatan Perolehan, Go-To-Market serta keupayaan digital.
Tan berkata kepelbagaian perkhidmatan itu menunjukkan peningkatan keupayaan hab berkenaan untuk mengendalikan tanggungjawab lebih rumit dari Malaysia. Perkembangan itu juga membuka ruang kepada profesional tempatan memperoleh kepakaran merentas fungsi dan pendedahan serantau.
Peralihan kepada operasi serantau membolehkan syarikat menghimpunkan kepakaran khusus serta mewujudkan kaedah kerja yang lebih seragam antara pasaran. Ketua operasi perniagaan Sanofi, Agnès Perré, berkata pendekatan itu penting bagi organisasi yang mahu meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatan secara meluas.
“Untuk mencapai skala, kita perlu bergantung pada proses teras, model dan sistem. Menghimpunkan semuanya di satu tempat ialah cara paling baik untuk menyeragamkan dan mengindustrikan operasi sambil meningkatkan kecekapan serta kualiti,” katanya.
Menurut Perré, manfaatnya bukan sekadar penjimatan kos dan kecekapan. Proses serta sistem yang konsisten juga boleh meningkatkan mutu dan kebolehpercayaan perkhidmatan yang disampaikan di pelbagai pasaran.
Apabila operasi menjadi semakin canggih, pengurusan maklumat dan keupayaan menghasilkan pandangan perniagaan yang berguna turut bertambah penting. Di Sanofi, usaha itu melibatkan kerjasama lebih rapat antara pasukan serantau yang mempunyai kepakaran dalam kewangan, perkhidmatan perubatan, pembuatan dan bekalan serta operasi digital.
Kerjasama itu turut melibatkan rakan sekerja yang memahami keperluan pasaran penjagaan kesihatan masing-masing. Gabungan kepakaran serantau dengan pengetahuan mengenai keadaan pasaran tempatan menyokong operasi merentas negara.
Keupayaan operasi syarikat itu baru-baru ini mendapat pengiktirafan di SSON Asia Impact Awards 2026. Kerja yang dilaksanakan di Hab Kuala Lumpur dan Hyderabad menerima empat pengiktirafan.
Pengiktirafan itu merangkumi Perak bagi Automasi dan AI, Gangsa bagi Pengurusan Perubahan dan Transformasi Perniagaan, Gangsa bagi Kepelbagaian, Kesaksamaan dan Keterangkuman serta Sebutan Kehormat bagi Transformasi Kewangan.
Seiring operasi perniagaan serantau yang semakin berteraskan teknologi, permintaan terhadap tenaga kerja dengan kemahiran khusus, keupayaan digital dan pertimbangan yang baik dijangka meningkat. Bagi Malaysia, pembangunan keupayaan itu penting untuk mengekalkan daya tarikannya sebagai destinasi kerja serantau bernilai tinggi.
Perré berkata syarikat perlu melengkapkan kakitangan dengan kemahiran dan keyakinan untuk menggunakan teknologi baharu. Beliau berkata golongan lebih muda lazimnya terbuka untuk mengguna pakai alat digital seperti AI.
“Alat ini boleh mengubah cara kita bekerja, tetapi impak terbesar dicapai apabila pertimbangan manusia menjadi teras penggunaannya,” katanya.
Beliau berkata organisasi memerlukan kakitangan yang boleh memahami maklumat daripada alat digital dan AI, kemudian menterjemahkannya kepada nilai untuk perniagaan. Oleh itu, pekerja perlu dilatih untuk membangunkan keupayaan berkenaan.
Peranan sedemikian memberi peluang kepada profesional Malaysia mengembangkan kepakaran dalam bidang seperti analisis data, penambahbaikan proses dan operasi digital. Mereka juga boleh mendapat pendedahan kepada pasaran berbeza tanpa perlu berpindah ke luar negara.
Bagaimanapun, Perré berkata syarikat bukan sahaja perlu menyediakan tenaga kerja untuk perubahan teknologi, malah perlu memastikan operasi sedia ada terus berkualiti dan boleh dipercayai.
“Kita tidak boleh hanya melihat alat digital seperti AI dan menganggap masa depan akan menjadi hebat. Kita juga perlu memastikan tanggungjawab hari ini dilaksanakan,” katanya.
Tan berkata fasa seterusnya Hab Kuala Lumpur akan memberi tumpuan kepada pengukuhan keupayaan sedia ada dan penyampaian nilai lebih besar, bukannya peluasan semata-mata.
Beliau berkata penambahbaikan berterusan dan tumpuan kepada prestasi akan kekal penting apabila hab itu mengambil tanggungjawab yang semakin khusus.
“Semangat kami adalah untuk melakukan yang terbaik, dengan minda yang tepat terhadap penambahbaikan berterusan, kecekapan, impak dan nilai. Kami mahu membawa perubahan bermakna dalam membantu Sanofi melaksanakan tujuannya: mengejar keajaiban sains untuk memperbaiki kehidupan manusia,” katanya.
Perré berkata keutamaan dalam tempoh dua tahun akan datang termasuk menyatukan operasi dengan lebih lanjut, memperkukuh mutu perkhidmatan dan membangunkan keupayaan pekerja bagi menyokong tugas yang lebih kompleks serta bernilai tinggi.
Kerjasama lebih erat dalam operasi, termasuk antara hab dan pasukan dalam negara, juga akan terus diberi perhatian. Menurut beliau, langkah itu penting untuk memastikan perkhidmatan konsisten merentas pasaran dan memenuhi keperluan perniagaan tempatan.
Sanofi mempunyai enam hab dalam rangkaian hab globalnya. Hab-hab itu bekerjasama dengan pasukan dalam negara untuk membina model kerjasama berprestasi tinggi, mempercepat operasi dan menghasilkan keputusan yang lebih baik untuk pesakit.
Fasa seterusnya Hab Kuala Lumpur berlangsung seiring perasmian tempat kerja baharu syarikat itu di The Exchange 106, Kuala Lumpur. Perpindahan itu menandakan satu lagi pencapaian dalam tempoh sedekad kehadiran Sanofi di Malaysia.
Pejabat baharu itu direka untuk menggalakkan kerjasama antara pasukan dan menyokong kesejahteraan pekerja. Reka bentuknya mencerminkan perubahan dalam sifat operasi perniagaan serantau serta penekanan yang semakin besar terhadap tempat kerja yang menyokong kaedah kerja lebih terhubung.
Perré berkata Sanofi akan terus meningkatkan kemahiran pasukan, melabur dalam pekerja, mengekalkan penyampaian dan prestasi serta menjalankan transformasi dalam tempoh dua tahun akan datang.
Beliau berkata usaha itu bertujuan menghasilkan nilai yang boleh diukur kepada Sanofi dan, akhirnya, kepada pesakit.