Ekonomi Malaysia di landasan tepat, kesan kerangka MADANI dijangka meluas

Sumber: Bernama English

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Ekonomi Malaysia berada di landasan yang tepat untuk berkembang menerusi pelaksanaan agenda dan strategi di bawah kerangka Ekonomi MADANI, dengan kesan usaha penstrukturan semula ekonomi dijangka lebih menyeluruh dalam jangka panjang, khususnya terhadap produktiviti, nilai tambah domestik dan kesejahteraan rakyat.

Pensyarah kanan Sekolah Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Muhammad Ridhuan Bos Abdullah, berkata prestasi ekonomi negara kekal konsisten, disokong asas ekonomi yang kukuh serta persekitaran perniagaan yang semakin baik.

Beliau berkata peningkatan kecekapan kerajaan, tadbir urus dan ekosistem perniagaan turut menyumbang kepada daya saing Malaysia yang lebih tinggi serta keyakinan terhadap persekitaran ekonomi negara.

Mengulas perbelanjaan kerajaan, Muhammad Ridhuan berkata usaha meningkatkan kecekapan penggunaan sumber, termasuk memastikan subsidi disalurkan kepada kumpulan sasar, menunjukkan kerajaan sedang bergerak ke arah pengurusan yang lebih berkesan.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) juga berpotensi memberi implikasi dasar kepada kerajaan dalam menilai petunjuk seperti kuasa beli dan kos sara hidup.

“Sebagai ahli ekonomi, saya percaya kerajaan telah berusaha supaya pengagihan manfaat subsidi yang saksama tidak diabaikan.

“BUDI95 menjadi lebih penting apabila dilihat bersama keupayaan kerajaan menjana hasil dan kedudukan fiskal negara,” katanya kepada Bernama.

Dari sudut ekonomi sektor awam, beliau berkata usaha kerajaan boleh dinilai berdasarkan tiga aspek, iaitu meningkatkan kecekapan perbelanjaan, memperkukuh kemampanan fiskal negara, serta melindungi kesejahteraan dan kuasa beli rakyat.

Beliau berkata kerajaan perlu meneruskan konsolidasi fiskal melalui rasionalisasi perbelanjaan dan peluasan kapasiti ekonomi negara. Rasionalisasi subsidi, katanya, diperlukan untuk menangani tekanan fiskal jangka pendek.

Namun, kemampanan fiskal jangka panjang banyak bergantung pada struktur pertumbuhan ekonomi, nilai tambah domestik, keuntungan korporat dan pendapatan pekerjaan, katanya ketika mengulas pencapaian sepanjang empat tahun pentadbiran Kerajaan MADANI.

Malaysia mencatat peningkatan pelaburan diluluskan kepada RM426.7 bilion pada 2025 berbanding RM264.6 bilion pada 2022. Sementara itu, pelaburan digital yang diluluskan bagi tempoh 2022 hingga 2025 berjumlah RM376.7 bilion.

Antara pelaburan teknologi bernilai tinggi yang disenaraikan ialah Infineon bernilai US$10 bilion, Intel (US$7 bilion), Amazon Web Services (AWS) (US$6.2 bilion), Microsoft (US$2.2 bilion) dan Google (US$2 bilion).

Dalam sektor pembuatan, industri elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang 44.3 peratus daripada jumlah eksport tahun lepas, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri. Malaysia turut menguasai 13 peratus kapasiti pemasangan, pengujian dan pembungkusan semikonduktor global, selain menjadi pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia.

Muhammad Ridhuan berkata perkembangan itu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap ekosistem dan persekitaran perniagaan negara semakin meningkat. Bagaimanapun, pelaburan sebenar lazimnya mengambil masa antara satu hingga tiga tahun sebelum kesan limpahannya dapat dirasai dengan lebih meluas dalam ekonomi domestik.

“Dalam jangka pendek, perkembangan ekonomi juga boleh dilihat melalui peningkatan eksport negara,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut giat mempromosikan potensi Malaysia menerusi lawatan rasmi serta pertemuan dengan pemimpin asing dan pemain industri bagi menarik pelaburan dan meluaskan hubungan ekonomi antarabangsa.

Antara usaha kerjasama ekonomi antarabangsa ialah memperkukuh hubungan Malaysia dengan Uzbekistan, khususnya dalam sektor tenaga, petrokimia dan teknologi hijau. Selepas lawatan rasmi Anwar ke negara Asia Tengah itu pada Mei 2024, kedua-dua negara bersetuju meneroka peluang kerjasama dalam sektor petrokimia dan penyelesaian tenaga hijau.

Uzbekistan turut menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), terutama dalam projek metanol kepada olefin (MTO), pengeluaran hidrogen hijau dan ammonia hijau, selain potensi sumbangan Petronas dalam latihan tenaga kerja bagi sektor minyak dan gas Uzbekistan.

Kerjasama tenaga juga menjadi antara agenda utama hubungan Malaysia-Rusia apabila Anwar mengadakan lawatan kerja ke Kazan pada Jun 2026. Rusia memberi jaminan bekalan petrol, minyak dan gas jangka panjang kepada Malaysia, dengan persiapan bagi perjanjian bekalan berbilang tahun sedang dilaksanakan untuk memberikan kepastian lebih besar terhadap bekalan tenaga negara.

Walau bagaimanapun, Muhammad Ridhuan berkata usaha menarik pelaburan dan memperluas kerjasama antarabangsa perlu disertai peningkatan daya saing negara, khususnya dalam produktiviti dan keupayaan firma tempatan untuk bersaing di peringkat global.

Malaysia menyasarkan untuk berada dalam kalangan 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia menjelang 2030. Negara itu naik ke tangga ke-15 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2026 daripada tempat ke-23 pada tahun lepas, selepas berada di tangga ke-32 empat tahun lalu.

Nilai eksport Malaysia meningkat daripada RM1.5 trilion pada 2024 kepada rekod RM1.6 trilion pada 2025. Eksport bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026 pula telah melepasi angka itu, mencecah RM1.8 trilion.

Namun, Muhammad Ridhuan berpendapat penilaian prestasi eksport juga perlu mengambil kira sumbangan eksport domestik, kapasiti pengeluaran dan nilai tambah yang dijana firma tempatan.

“Dari perspektif organisasi industri, saya perlu meneliti sama ada peningkatan eksport ini turut disokong kapasiti pengeluaran domestik yang lebih tinggi, kecekapan firma dan nilai tambah.

“Jika pertumbuhan eksport mengatasi peningkatan produktiviti domestik, kita perlu meneliti struktur industri, khususnya kedudukan firma tempatan dalam rantaian nilai global dan hubungan antara syarikat multinasional dengan pembekal domestik,” katanya.

Beliau berkata pertumbuhan eksport juga wajar dinilai berdasarkan komposisinya, termasuk sumbangan eksport semula serta permintaan global terhadap produk E&E.

Justeru, katanya, dasar perdagangan dan perindustrian perlu memberi tumpuan kepada peningkatan eksport domestik, di samping memastikan pertumbuhan perdagangan antarabangsa membawa kesan limpahan ekonomi yang lebih besar kepada syarikat tempatan.

Muhammad Ridhuan berkata peningkatan produktiviti memerlukan usaha jangka panjang yang merangkumi penggunaan teknologi, pendigitalan, inovasi, pembangunan kemahiran menerusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), serta pengukuhan keupayaan firma menghasilkan produk bernilai tambah lebih tinggi.

Usaha itu penting bagi memastikan pelaburan baharu bukan sahaja meningkatkan kapasiti pengeluaran, malah memperkukuh keupayaan teknologi dan penyertaan industri tempatan dalam rantaian bekalan global, katanya.

Mengulas kaitan produktiviti dengan pendapatan pekerja, beliau berkata data Bank Negara Malaysia menunjukkan produktiviti buruh meningkat secara terkumpul sebanyak sembilan peratus antara 2019 hingga 2025, manakala upah benar bagi setiap pekerja sektor swasta merosot 1.7 peratus dalam tempoh sama.

Perbezaan itu menunjukkan peningkatan produktiviti perlu disertai usaha memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada pendapatan pekerja yang lebih baik, katanya.

“Saya melihat Malaysia berada di landasan yang tepat untuk berkembang, tetapi kita perlu memastikan kualiti pertumbuhan menjadi lebih tinggi melalui peningkatan produktiviti, kecekapan firma dan nilai tambah.

“Kesan peningkatan teknologi, pendigitalan dan inovasi lazimnya mengambil masa lebih lama sebelum diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti yang menyeluruh,” katanya.

Muhammad Ridhuan berkata kesinambungan dasar pertumbuhan sedia ada, terutama yang bertujuan memperkukuh inovasi, pembangunan modal insan dan keupayaan industri domestik, penting bagi memastikan momentum ekonomi negara dapat dikekalkan dalam jangka panjang.