LTAT kurangkan pegangan Boustead Plantations, selaras saranan PAC
KUALA LUMPUR, 26 Nov — Cadangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengurangkan pegangan dalam Boustead Plantations Bhd (BPlant) menerusi Project Earth selaras dengan saranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan sebahagian daripada usaha memperkukuh dana persaraan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi, berkata langkah berkenaan menyokong transformasi LTAT ke arah dana persaraan yang lebih pelbagai, berdaya tahan dari segi kewangan dan mampan.
PAC sebelum ini menggesa LTAT mempelbagaikan portfolio pelaburan serta mengurangkan kebergantungan kepada Boustead Group. Langkah itu bertujuan mengurangkan risiko penumpuan dan memastikan pembayaran dividen kepada pencarum dapat dikekalkan.
Menurut Mohammad Ashraf, transaksi yang dicadangkan itu dijangka mengurangkan pendedahan LTAT kepada aset strategik, selain membolehkan dana berkenaan menghapuskan kos pembiayaan sehingga RM80 juta setahun berkaitan pinjaman untuk menswastakan BPlant.
“Langkah ini akan mengurangkan penumpuan kami dalam aset strategik dan membawa kami lebih dekat kepada sasaran GEMPUR30,” katanya ketika menjawab pertanyaan BERNAMA.
GEMPUR30 ialah pelan transformasi strategik lima tahun LTAT bagi tempoh 2026 hingga 2030. Pelan itu bertujuan memperkukuh kemampanan kewangan, meningkatkan prestasi pelaburan dan memberikan dividen yang konsisten kepada pencarum.
Antara tumpuan utamanya ialah mengimbangi semula portfolio pelaburan. LTAT menyasarkan peruntukan aset strategik dikurangkan daripada 58.5 peratus kepada 35 peratus, manakala peruntukan ekuiti awam dan pendapatan tetap masing-masing ditingkatkan daripada 10.2 peratus dan 11.8 peratus kepada sekurang-kurangnya 20 peratus menjelang 2030.
LTAT masih akan menerima dividen daripada BPlant dan mengambil bahagian dalam pertumbuhan syarikat itu melalui pegangan signifikan yang dikekalkan. Perjanjian berkenaan juga akan memastikan sokongan BPlant kepada komuniti Angkatan Tentera terus dipelihara.
Mohammad Ashraf berkata pertimbangan LTAT berpandukan tanggungjawab asasnya untuk melindungi dan mengembangkan simpanan persaraan anggota Angkatan Tentera Malaysia.
“Setiap keputusan pelaburan di LTAT bermula dengan satu soalan: adakah keputusan itu melindungi dan mengembangkan simpanan persaraan lelaki dan wanita yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia?” katanya.
Beliau berkata lebih separuh daripada simpanan pencarum kini tertumpu pada segelintir aset strategik. Menurutnya, tahap penumpuan sedemikian tidak wajar dikekalkan oleh dana pencen yang berhemat.
**Pulangan pencarum menjadi keutamaan**
Mohammad Ashraf berkata cadangan mengurangkan pegangan dalam BPlant perlu dinilai berdasarkan pulangan pelaburan dana persaraan, bukan semata-mata keuntungan syarikat perladangan itu.
Walaupun prestasi operasi BPlant bertambah baik, dividen yang diterima LTAT masih lebih rendah berbanding kos faedah tahunan bagi pinjaman yang digunakan untuk penswastaan syarikat itu, katanya.
Kos pembiayaan sehingga RM80 juta setahun menyebabkan LTAT mengalami defisit hasil bersih daripada pelaburan berkenaan.
“Walaupun dividen BPlant meningkat susulan operasi yang lebih baik, wang tunai yang benar-benar diterima LTAT masih tidak mencukupi untuk menampung faedah yang kami bayar atas hutang itu,” katanya.
Sebagai pemegang amanah, LTAT tidak boleh membenarkan simpanan pencarum terus terdedah kepada struktur yang memberikan pulangan negatif apabila terdapat peluang melangsaikan hutang dan melaburkan semula modal dalam aset yang menghasilkan pulangan lebih tinggi daripada kosnya, katanya.
Prestasi BPlant yang semakin baik pula memberi peluang kepada LTAT merealisasikan nilai pelaburannya ketika kedudukan syarikat itu kukuh. Pada masa sama, langkah itu mengurangkan pendedahan LTAT kepada kitaran harga komoditi dan keperluan perbelanjaan modal besar dalam industri perladangan.
Keperluan itu termasuk program penanaman semula yang memerlukan pelaburan awal besar dan mengambil masa beberapa tahun sebelum memberikan pulangan.
Beliau menegaskan cadangan itu hanya melibatkan pengurangan pegangan saham, bukannya LTAT keluar sepenuhnya daripada sektor perladangan.
“LTAT Group akan mengekalkan kepentingan minoriti yang bermakna dalam BPlant. Dengan itu, kami terus berkongsi pertumbuhan dan dividen masa depannya, mempunyai suara dalam hala tuju strategik syarikat serta mengekalkan sumbangannya kepada komuniti Angkatan Tentera dan keselamatan makanan negara,” katanya.
**Tender kompetitif dan tadbir urus**
Mengenai pemilihan pelabur pilihan, Mohammad Ashraf berkata proses tender kompetitif melibatkan empat kumpulan perladangan Bumiputera dan berkaitan kerajaan yang disenarai pendek bagi mendapatkan nilai keseluruhan terbaik untuk pencarum.
Tiga pihak mengemukakan tawaran mengikat sebelum dijemput menambah baik cadangan masing-masing dalam pusingan bidaan kedua, katanya.
LTAT turut melantik penilai bebas untuk menilai bank tanah BPlant serta penasihat kewangan bebas bagi menentukan nilai saksama saham syarikat itu.
Penilaian bukan sahaja mengambil kira harga belian, malah turut meneliti terma pembayaran, kepastian pembiayaan, kewajipan kontrak, kemungkinan liabiliti yang dikekalkan dan keupayaan menyempurnakan transaksi dalam tempoh ditetapkan.
Mohammad Ashraf berkata tawaran yang dipilih mengatasi tawaran paling hampir dengan margin dua angka, sedangkan terma komersial secara umumnya setanding.
“Bagi dana pencen, mengetepikan perbezaan itu semata-mata untuk memilih nama yang lebih besar bukan tindakan berhemat; ia akan melanggar tanggungjawab kami kepada pencarum,” katanya.
Pembida pilihan turut mengemukakan bukti pembiayaan daripada institusi kewangan domestik. Bagaimanapun, perjanjian muktamad masih tertakluk pada penyelesaian yang memuaskan bagi semua keperluan kewangan, pemilikan dan tadbir urus.
Keperluan itu termasuk pengesahan pemilikan benefisial akhir dan pematuhan Bumiputera, katanya.
Beliau berkata proses berkenaan melalui beberapa lapisan penelitian melibatkan pihak pengurusan, Panel Pelaburan, Lembaga dan pihak berkepentingan kerajaan yang berkaitan.
“Angka membimbing pertimbangan kami; tadbir urus melindungi mandat kami,” katanya.
Semua pembida yang mengambil bahagian telah dimaklumkan mengenai keputusan itu. Tender yang telah dimuktamadkan tidak akan dibuka semula, selaras dengan prinsip keadilan, ketelusan dan integriti proses, katanya.
**Hasil untuk kukuhkan kedudukan kewangan**
Mohammad Ashraf berkata sebahagian besar hasil transaksi yang dicadangkan akan digunakan untuk melangsaikan sepenuhnya pinjaman berkaitan penswastaan BPlant. Langkah itu dijangka mengurangkan tanggungan pembiayaan LTAT dengan ketara dan mengukuhkan kedudukan kunci kira-kiranya.
“Bakinya akan dilaburkan semula mengikut Kerangka Peruntukan Aset Strategik kami, terutamanya dalam pendapatan tetap dan ekuiti tersenarai, manakala pasaran swasta dan aset sebenar akan dipertimbangkan secara terpilih,” katanya.
Pengagihan semula itu dijangka meningkatkan kecairan portfolio, meluaskan sumber pendapatan berulang dan mengukuhkan keupayaan LTAT membayar dividen secara konsisten kepada anggota Angkatan Tentera dalam jangka panjang.
Langkah berkenaan turut menyambung inisiatif pemulihan modal dan kepelbagaian portfolio LTAT yang terdahulu di bawah Project Earth, katanya.
**Pertumbuhan BPlant dikekalkan**
Mohammad Ashraf berkata transaksi itu turut disusun untuk memastikan kesinambungan operasi BPlant, melindungi tenaga kerjanya dan mengekalkan sumbangan syarikat kepada komuniti Angkatan Tentera.
Keupayaan pengurusan sedia ada BPlant akan dikekalkan, manakala LTAT akan terus mempunyai suara dalam lembaga syarikat melalui baki pegangan sahamnya.
Nilai transaksi akan didedahkan melalui saluran sewajarnya selepas perjanjian muktamad dimeterai.
Beliau berkata cadangan itu mencerminkan komitmen LTAT untuk memastikan keputusan pelaburan berteraskan disiplin kewangan, tadbir urus yang baik dan kepentingan jangka panjang pencarum.
“Kami bertanggungjawab terhadap data dan kepada pencarum kami,” katanya.