Kioxia perkenal SSD GP2 untuk perluas kapasiti memori GPU bagi AI

Sumber: Bernama English

KUALA LUMPUR, 26 Nov — Kioxia Corporation memperkenalkan pemacu keadaan pepejal (SSD) KIOXIA GP2 Series Super High IOPS, produk kedua dalam siri GP yang dioptimumkan untuk akses terus oleh unit pemprosesan grafik (GPU).

Kioxia berkata GP2 dibangunkan berasaskan teknologi dan seni bina GP1 Series yang diumumkan pada Ogos 2026. SSD baharu itu menawarkan lebih 18 juta operasi input/output sesaat (IOPS) bacaan rawak pada saiz blok 512 bait, hampir dua kali ganda prestasi pendahulunya.

Syarikat itu menjangkakan GP2 mampu mencapai kadar pemprosesan bacaan berjujukan sehingga 28 gigabait sesaat, mencukupi untuk memenuhi kapasiti pautan PCIe 6.0 x4.

SSD Super High IOPS boleh menambah kapasiti berkesan memori jalur lebar tinggi (HBM) dalam sistem GPU melalui lapisan memori berasaskan denyar yang boleh diakses terus oleh GPU. Keupayaan itu membolehkan sistem kecerdasan buatan (AI) memproses set data lebih besar, termasuk data untuk rangkaian neural graf berskala besar.

Menurut Kioxia, pendekatan itu menawarkan kapasiti tambahan pada kos lebih rendah berbanding penambahan kapasiti setara dalam HBM atau memori capaian rawak dinamik (DRAM), selain membantu meningkatkan penggunaan GPU.

GP2 menggunakan memori denyar XL-FLASH generasi ketiga keluaran Kioxia, yang direka untuk kependaman rendah dan prestasi tinggi. Berdasarkan ujian syarikat itu, memori berkenaan mempunyai daya tahan lebih tinggi serta kira-kira 2.5 kali ganda IOPS berbanding SSD lazim berasaskan sel tiga aras.

Memori itu juga menyokong akses data berbutir halus bagi peluasan memori dan menggunakan kuasa yang jauh lebih rendah bagi setiap operasi input/output. Kioxia berkata generasi GP Series akan datang disasarkan mencapai sehingga 100 juta IOPS bacaan rawak.

SSD berkenaan direka mengikut spesifikasi PCIe 6.0 dan Non-Volatile Memory Express (NVMe) 2.3, dengan daya tahan sehingga 50 penulisan pemacu sehari serta sokongan untuk penyejukan cecair secara langsung.

Antara faktor bentuk yang sedang dipertimbangkan ialah E1.S berukuran 9.5 milimeter dan E3.S. Kioxia berkata sampel penilaian GP2 Series akan disediakan kepada pelanggan terpilih menjelang akhir 2027.