Konsortium diketuai Eldridge setuju ambil alih aset global LUKOIL

Sumber: Bernama English

KUALA LUMPUR, 26 Nov — Konsortium diketuai Eldridge memeterai perjanjian muktamad untuk mengambil alih LUKOIL International GmbH (LIG), syarikat yang memegang aset minyak dan gas bukan Rusia milik syarikat tenaga Rusia, LUKOIL.

Konsortium itu turut merangkumi US International Development Finance Corporation (DFC), Catena Investment Holding yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Xtellus Partners.

Portfolio LIG meliputi pelbagai peringkat rantaian nilai tenaga, termasuk medan minyak dan gas huluan, loji penapisan, saluran paip, perdagangan serta operasi hiliran. Asetnya terletak di Eropah, Timur Tengah, Asia Tengah, Afrika dan Amerika Utara.

Operasi huluan LIG merentasi 11 negara dengan pengeluaran kira-kira 350,000 tong setara minyak sehari. Aset syarikat itu turut merangkumi tiga loji penapisan di Bulgaria, Belanda dan Romania, yang mempunyai kapasiti penapisan gabungan kira-kira 350,000 tong sehari, serta lebih 2,000 stesen runcit di 16 negara.

Dalam kenyataan, Eldridge berkata urus niaga itu dirangka untuk menstabilkan operasi, memperkukuh keselamatan tenaga dan menyokong bekalan tenaga yang boleh dipercayai, selain memulangkan berbilion dolar kepada pembayar cukai Amerika.

Mengikut cadangan aturan pertukaran saham, konsortium itu akan menukar saham terhad PJSC LUKOIL dan syarikat Rusia lain dengan 100 peratus ekuiti LIG. Struktur itu mengelakkan pembayaran tunai secara langsung kepada Rusia.

DFC akan menerima kepentingan pemilikan bagi pihak Amerika Syarikat tanpa kos pendahuluan kepada pembayar cukai. Sementara itu, balasan jualan akan disimpan dalam akaun jagaan terhad selama lima tahun atau sehingga sekatan ditarik balik.

Urus niaga itu masih tertakluk kepada kelulusan bersyarat Pejabat Kawalan Aset Asing di Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat, penyempurnaan usaha wajar serta syarat kawal selia dan penutupan lain.