Lebih 70 peratus pengguna SPayLater bergantung pada BNPL sebagai kredit

KUALA LUMPUR: Lebih 70 peratus daripada 18,100 pengguna SPayLater yang menyertai kajian menyatakan kemudahan beli sekarang, bayar kemudian (BNPL) ialah satu-satunya pilihan kredit mereka. Kajian bersama SPayLater dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) itu turut mendapati 74 peratus responden menganggap kredit sebagai keperluan harian.
Peratusan pengguna yang bergantung pada BNPL sebagai satu-satunya pilihan kredit meningkat 15 mata peratusan berbanding tahun lalu. Kajian tahunan kali kedua bertajuk ‘Fikir Sekarang, Bayar Kemudian’ itu dijalankan antara Jun hingga Julai tahun ini.
Kajian berkenaan mendapati 79.3 peratus responden berpendapatan RM5,000 dan ke bawah, termasuk 18 peratus yang memperoleh RM2,000 dan ke bawah. Lebih 40 peratus pula menggunakan kemudahan ansuran SPayLater untuk mengurus bajet, terutama aliran tunai bagi pembelian bernilai tinggi.
Menurut kenyataan bersama SPayLater dan AKPK, sebahagian pengguna turut menggunakan kemudahan itu bagi perbelanjaan penting dan mendesak, seperti pembaikan kenderaan serta penggantian peralatan elektrik rumah. Sebanyak 94 peratus responden berkata mereka berasa lega kerana mempunyai akses kepada BNPL sebagai kemudahan kredit yang fleksibel.
Ketua Pendidikan Kewangan Isi Rumah AKPK, Nirmala M Supramaniam, berkata cara rakyat Malaysia menggunakan kredit sedang berubah, dengan BNPL semakin mengisi jurang akses kepada kemudahan kredit tradisional. Beliau berkata peningkatan akses kredit perlu disertai usaha memperkukuh literasi kewangan supaya pengguna memahami pengurusan kemudahan kredit.
“AKPK tidak menemukan sebarang kes kebankrapan yang menyenaraikan BNPL sebagai punca utama, namun pembentukan tabiat kewangan asas dan ekosistem kredit yang berdaya tahan tetap penting,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Ketua ShopeePay Malaysia, Alain Yee, berkata SPayLater sering menjadi pengenalan kepada kemudahan kredit bagi ramai penggunanya. Menurutnya, terma pembayaran yang telus boleh membantu pengguna memahami pengurusan bajet dan konsep kewangan secara praktikal sebelum beralih kepada produk kredit yang lebih kompleks.
Dari segi literasi kewangan, tujuh daripada 10 responden berkata mereka memahami konsep pemarkahan kredit dan kesannya, manakala 70 peratus percaya penggunaan BNPL memberi kesan positif kepada penilaian kredit mereka. Selain itu, 98 peratus menyatakan mereka menggunakan BNPL secara bertanggungjawab dan 88 peratus berasa selamat menggunakan SPayLater.
Data Suruhanjaya Kredit Pengguna menunjukkan kadar tunggakan BNPL di Malaysia ialah 3.3 peratus bagi separuh pertama tahun ini. SPayLater pula memaklumkan lebih 3,300 penggunanya menerima bantuan kewangan dan pembayaran balik sejak awal tahun ini ketika menghadapi kesukaran tidak dijangka. Bantuan itu turut merangkumi penghapusan baki hutang pengguna yang meninggal dunia bagi mengelakkan waris menanggung beban kewangan.
Sementara itu, statistik Bank Negara Malaysia menunjukkan kadar tunggakan keseluruhan kad kredit berada pada 3.9 peratus setakat Jun 2026.