SRAM sedia laluan kejurulatihan buat bekas pemain negara

KUALA LUMPUR: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) mahu menyediakan laluan lebih jelas kepada bekas pemain negara untuk beralih ke bidang kejurulatihan selepas menamatkan karier, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada jurulatih import.
Timbalan Presidennya, Azlan Iskandar berkata, langkah itu antara pembaharuan struktur kejurulatihan persatuan bagi memastikan pengalaman bekas pemain terus dimanfaatkan untuk pembangunan skuasy negara. Beliau berkata, SRAM tidak mahu bakat dan pengalaman mereka terhenti selepas meninggalkan gelanggang.
“Kita juga perlu ada kesinambungan untuk bekas atlet. Jangan terlalu bergantung kepada pengambilan jurulatih baharu dari luar negara kerana kita sebenarnya mempunyai pemain sedia ada yang boleh dipersiapkan untuk fasa kehidupan seterusnya.
“Kita mempunyai perancangan ke arah itu dan mahu memastikan bekas pemain turut mempunyai peluang untuk menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan negara,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di MSN, hari ini.
Azlan, yang turut dilantik sebagai Pengerusi Kejurulatihan SRAM, berkata persatuan akan melaksanakan struktur baharu dengan membawa masuk seorang bekas atlet sebagai jurulatih. Penambahan tenaga kejurulatihan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan persatuan mempunyai pelan jangka panjang yang lebih tersusun.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata SRAM memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Sukan SEA 2027. Sasaran pingat sudah dikenal pasti, namun jumlah emas yang disasarkan masih terlalu awal untuk didedahkan.
Katanya, SRAM mempunyai kelompok atlet sedia ada dan berharap barisan pembangunan dapat mengisi kekosongan sekiranya diperlukan bagi memperkukuh cabaran negara pada temasya itu.
Skuasy menjadi taruhan penting negara untuk meraih pingat. Pencapaian terbaik negara pada temasya itu adalah ketika edisi 2017, ketika Malaysia menjadi tuan rumah, dengan kutipan enam emas, empat perak dan dua gangsa.