Andy Taylor, bekas gitaris Duran Duran, meninggal dunia pada usia 65 tahun

LONDON: Andy Taylor, pemain gitar kumpulan pop Britain Duran Duran, meninggal dunia pada usia 65 tahun selepas menghidap kanser prostat. Mendiang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya bersama keluarga pada Isnin lalu, menurut kenyataan keluarga dan anggota kumpulan itu di laman web rasmi Duran Duran.
Isterinya, Tracey Taylor, berkata pemergian suaminya merupakan kehilangan besar buat keluarga. Beliau menyifatkan Taylor sebagai pemain gitar hebat di mata dunia, tetapi sebagai suami yang budiman, bapa penyayang dan datuk yang amat berbangga dengan cucunya dalam kehidupan keluarga.
“Walau sejauh mana muzik membawanya pergi, hatinya sentiasa berada di rumah,” katanya dalam kenyataan itu.
Dilahirkan di Tynemouth, England, Taylor merupakan antara penulis bersama beberapa lagu hit Duran Duran, termasuk “Save A Prayer”, “Rio”, “Girls On Film” dan “Hungry Like The Wolf”. Bakat muziknya mula terserlah ketika mempelajari gitar, bass dan dram secara sendiri. Beliau bermain muzik secara profesional seawal usia 13 tahun.
Taylor menyertai Duran Duran pada April 1980 selepas menjawab iklan uji bakat di Birmingham. Kerjayanya bersama kumpulan itu membantu membawa mereka ke kemuncak populariti dunia menerusi gerakan muzik New Romantic. Selain sumbangannya kepada Duran Duran, Taylor mencipta nama menerusi projek sampingan The Power Station dan bekerjasama dengan artis seperti Robert Palmer, Rod Stewart serta Belinda Carlisle.
Vokalis utama Duran Duran, Simon Le Bon, turut menyuarakan kesedihan atas pemergian rakan seperjuangannya. Beliau berkata Taylor tidak pernah memilih jalan mudah dalam berkarya dan bunyi gitarnya yang menggunakan kesan overdrive membantu membentuk identiti kumpulan itu.
Menurut Le Bon, Duran Duran menggabungkan unsur funk, rock dan punk dalam gerakan New Romantic, dengan lagu-lagu yang kekal malar segar sehingga kini.
Taylor meninggalkan Duran Duran pada 1985 sebelum kembali menyertai kumpulan itu buat sementara waktu pada era 2000-an. Pada November 2022, beliau mendedahkan dirinya menghidap kanser prostat tahap empat selepas terpaksa menarik diri daripada majlis pengiktirafan Duran Duran ke dalam Rock and Roll Hall of Fame. Beliau masih menyumbangkan sentuhan terakhirnya menerusi album Danse Macabre, yang diterbitkan pada 2023.
Mendiang meninggalkan balunya, Tracey, yang dikahwini pada 1982, empat anak mereka, Georgina, Isabella, Bethany dan Andrew, serta seorang cucu, Albie.