Keluarga mangsa Batang Kali tolak hujah tragedi ‘bencana alam’

SHAH ALAM: Mangsa terselamat dan keluarga mangsa tanah runtuh Batang Kali mempertikaikan pembelaan “act of God” yang dikemukakan kerajaan negeri serta pengendali tapak perkhemahan dalam saman di Mahkamah Tinggi di sini. Mereka berhujah tragedi pada 16 Disember 2022 itu berpunca daripada kecuaian manusia.
Dalam saman itu, 23 plaintif berkata tapak perkhemahan Father's Organic Farm bukan terletak di lereng bukit semula jadi, sebaliknya di atas tambakan jalan buatan manusia. Mereka mendakwa tambakan itu dibina dengan menimbunkan tanah merentasi lembah sempit yang dilalui aliran sungai.
Plaintif berkata tiada saliran dibina di bawah tambakan berkenaan, menyebabkan air bawah tanah terkumpul selama bertahun-tahun. Apabila tanah tambakan yang longgar dan tepu air gagal menampung keadaan itu, ia berubah menjadi lumpur lembut seperti cecair, menurut mereka.
Mereka memetik Jabatan Mineral dan Geosains yang menganggarkan tanah itu mengalir seperti cecair pada kelajuan 12 meter sesaat sebelum sampai ke tapak perkhemahan dalam beberapa saat. Plaintif turut merujuk laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang menyatakan tanah berkenaan telah “melebihi had cecair”.
Menurut plaintif, keadaan tanah menyebabkan aliran debris sampai ke tapak perkhemahan yang terletak kira-kira 550 meter dari tambakan. Mereka berkata gelombang pertama itulah yang meragut nyawa mangsa.
Tanah runtuh yang berlaku awal pagi 16 Disember 2022 itu mengorbankan 31 orang, termasuk 13 kanak-kanak, manakala 61 lagi cedera. Laporan forensik yang dikeluarkan pada Oktober 2023 mengenal pasti hujan lebat sebagai faktor utama yang mencetuskan bencana berkenaan.
Saman itu difailkan oleh keluarga mangsa yang meninggal dunia dan mangsa terselamat terhadap kerajaan Selangor, JKR negeri, pemilik resort Malaysia Botanical Gardens Resort Sdn Bhd, pengendali tapak perkhemahan BL Agro Sdn Bhd, Majlis Perbandaran Hulu Selangor serta Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor.
Plaintif turut mendakwa pengendali tapak tidak memperoleh kelulusan untuk menjalankan operasi perkhemahan. Mereka berkata kelulusan yang ada adalah bagi resort percutian dan taman botani, bukannya ladang atau tapak perkhemahan.
Mereka menyatakan tapak perkhemahan komersial itu mempunyai tandas kekal, tempat perlindungan dan dewan makan, serta beroperasi di lembah tepat di bawah tambakan jalan tinggi, di atas tanah yang hanya diperuntukkan untuk pertanian. Plaintif juga berkata tiada amaran diberikan kepada peserta perkhemahan dan tiada pelan sokongan untuk mengeluarkan mereka sekiranya berlaku kecemasan. Bukti dokumentari yang dikemukakan di mahkamah, kata mereka, akan menunjukkan kejadian itu bukan “act of God”.