Ayda Jebat belajar selok-belok penerbitan sebelum terbit drama TV

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat, 34, mula mendalami bidang penerbitan drama sebelum AJNM Entertainment, syarikat yang diusahakannya bersama suami, Nabil Mahir, memulakan penggambaran drama dan telefilem baharu. Perkara itu dikongsikannya ketika menghadiri perasmian cawangan baharu Bayu Somerset di AEON Bandaraya Melaka, baru-baru ini.
Menurut Ayda, syarikat mereka sebelum ini lebih banyak menghasilkan video muzik (MV), iklan dan jingle untuk pelbagai jenama. Kini, mereka mahu mengembangkan operasi kepada penerbitan kandungan untuk televisyen (TV).
“Selama ini kami lebih banyak menghasilkan MV, iklan dan jingle untuk pelbagai jenama terkenal. Namun, kali ini kami mahu mencuba sesuatu berbeza dengan meneroka penerbitan untuk TV.
“Alhamdulillah, projek pertama kami sudah pun ditayangkan menerusi RTM. Insya-Allah, bulan depan kami akan memulakan penggambaran sebuah drama dan satu lagi telefilem,” katanya.
Ayda turut memaklumkan model dan pelakon, Amber Chia, akan menyertai barisan pelakon drama yang penggambarannya bermula bulan depan. Bagi memastikan mereka bersedia meneroka bidang itu, Ayda dan Nabil membahagikan tanggungjawab mengikut kepakaran masing-masing. Nabil menggalas tugas sebagai pengarah, manakala Ayda memberi tumpuan kepada pengurusan dan kerja di belakang tabir.
Ayda berkata penerbitan drama memerlukan disiplin kerja tinggi dan bukan hanya bergantung pada modal atau idea. Beliau menjadikan penerbit dan pelakon, Sheila Rusly, serta suaminya, Jinggo, sebagai rujukan dalam memahami cara mengendalikan produksi.
“Saya banyak memerhati cara beliau mengendalikan produksi, khususnya dalam aspek pengurusan kewangan, penelitian skrip dan pemilihan jalan cerita.
“Saya sangat mengaguminya. Saya suka semua cerita yang dihasilkan Sheila serta suaminya, Jinggo kerana jalan cerita berkualiti selain ketelitian dalam menguruskan bajet,” katanya.
Ayda berkata beliau berpeluang melihat sendiri cara Sheila meneliti skrip ketika beberapa kali dijemput ke rumah penerbit itu. Pengalaman berkenaan memberi ruang kepadanya mempelajari selok-belok kerja produksi.
“Dulu beliau selalu telefon saya suruh datang rumah. Ketika itulah saya dapat melihat sendiri caranya meneliti dan mengkaji skrip. Secara tidak langsung, banyak perkara saya belajar daripadanya,” katanya.
Walaupun berhasrat untuk mencuba tugas sebagai pengarah pada masa depan, pelakon drama *Mandul Bukan Pilihan* itu mahu menimba ilmu terlebih dahulu. Katanya, beliau tidak mahu terburu-buru sebelum memahami pengurusan produksi dengan baik.
“Saya rasa perlu menimba ilmu terlebih dahulu. Bukan tidak boleh buat, tetapi saya mahu belajar daripada orang yang lebih berpengalaman, termasuk mereka yang rapat dengan saya.
“Kami tidak mahu terus terjun tanpa persediaan kerana banyak perkara perlu difahami. Saya mahu tahu bagaimana menguruskan produksi dengan betul sebelum melangkah lebih jauh,” katanya.
Pada acara sama, Ayda turut berkongsi kekagumannya terhadap perkembangan Bayu Somerset yang menurutnya terus berkembang pesat sambil mengekalkan mutu. Beliau berkata busana jenama tempatan itu sering menjadi pilihannya untuk dipakai pada hari Jumaat, urusan rasmi dan kemunculan di TV.