Awang Hashim mahu Hannah dedah asas kelulusan tanah KLSCAH
SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mendedahkan secara terperinci asas penilaian dan kriteria pemberian premium nominal bagi tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH). Gesaan itu disuarakan menerusi hantaran Facebook pada Rabu.
Awang turut meminta syarat kelulusan serta perbandingan kes berkaitan dijelaskan, dan menegaskan pembangkang tidak boleh dianggap berpuas hati sebelum penjelasan itu diberikan. Katanya, perkara yang dituntut ialah akauntabiliti terhadap keputusan melibatkan aset awam.
Beliau berkata, dakwaan Hannah bahawa ahli Parlimen pembangkang keluar dari Kamar Khas Dewan Rakyat dengan gembira kerana isu KLSCAH sudah jelas kepada mereka tidak menggambarkan keadaan sebenar.
“Saya terkejut membaca kenyataan Hannah di Facebook hari ini yang mendakwa ahli Parlimen pembangkang keluar Kamar Khas Dewan Rakyat dengan gembira sebab isu ini sudah jelas kepada mereka,” katanya.
Awang berkata beliau turut membangkitkan persoalan mengenai KLSCAH dan menolak gambaran bahawa penjelasan yang diberikan telah memuaskan hati pembangkang. Menurutnya, gambar ahli Parlimen keluar dari kamar berkenaan dalam keadaan tersenyum bukan bukti semua persoalan sudah terjawab.
Sebelum ini, Hannah menerusi hantaran Facebook menyatakan rasa puas hati kerana berjaya menjawab persoalan mengenai KLSCAH dengan fakta. Beliau turut memaparkan gambar beberapa ahli Parlimen pembangkang yang keluar dari kamar berkenaan dalam keadaan gembira, sambil mendakwa isu itu sudah jelas kepada mereka.
Hannah juga mengucapkan terima kasih kepada ahli Parlimen kerajaan yang membahaskan isu itu dan menyokong usaha kerajaan membantu KLSCAH. Namun, Awang berkata beliau menuntut jawapan berhubung ucapan Hannah pada 14 November 2026, bukan sekadar mengulangi bahawa Ketua Setiausaha Negara (KSN) mempengerusikan jawatankuasa kelulusan.
Menurut Awang, ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-103 KLSCAH pada tarikh itu, Hannah tampil bukan hanya sebagai penyampai keputusan pentadbiran, tetapi juga sebagai pemimpin politik yang meraikan pengurangan premium daripada kira-kira RM4.67 juta kepada RM1,000.
“Beliau mengumumkan dengan penuh kegembiraan, ‘We have now secured’, merujuk kepada kejayaan memperoleh kadar premium tersebut. Ungkapan berkenaan jelas membina tanggapan bahawa beliau memainkan peranan penting dalam menjayakan keputusan itu,” katanya.
Awang turut menyebut Hannah memberikan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai atas usaha memastikan perkara itu diselesaikan segera dalam penggal pentadbiran semasa. Katanya, KSN sebagai pengerusi jawatankuasa yang kemudian diketengahkan sebagai pihak berkuasa membuat keputusan tidak disebut dalam senarai penghargaan tersebut.
Beliau berpendapat seorang menteri tidak boleh menggunakan pencapaian pentadbiran untuk meningkatkan kredibiliti politik, tetapi apabila timbul kontroversi menjelaskan bahawa kuasa membuat keputusan bukan miliknya. Pengakuan bahawa kelulusan terletak pada pihak lain, katanya, tidak menjawab persoalan mengenai pengaruh, keutamaan, penyelarasan dan akauntabiliti menteri.
“Kredit politik dan akauntabiliti pentadbiran tidak boleh dipisahkan mengikut keselesaan keadaan. Jika mahu tampil di hadapan ketika kejayaan diumumkan, bersedialah juga tampil di hadapan untuk menjelaskan keseluruhan proses apabila rakyat mula bertanya,” katanya.