Parlimen Australia lulus undang-undang baharu kawal platform teknologi

SYDNEY: Parlimen Australia meluluskan Rang Undang-Undang Kewajipan Digital pada Rabu, yang membolehkan pengguna memilih untuk tidak menggunakan algoritma media sosial serta mengenakan denda besar terhadap syarikat teknologi yang gagal membuang kandungan berbahaya.
Kelulusan itu dicapai selepas perjanjian pada saat akhir antara Parti Buruh yang memerintah dengan parti berhaluan kiri, Greens. Undang-undang berkenaan mewajibkan syarikat di sebalik platform popular seperti X, TikTok dan Instagram memberi pengguna pilihan untuk tidak menggunakan algoritma yang menentukan kandungan yang dipaparkan kepada mereka.
Syarikat berkenaan juga akan dipertanggungjawabkan secara langsung untuk melindungi pengguna bawah 18 tahun daripada pornografi, buli dalam talian, kandungan yang mengagungkan jenayah serta bahan yang menggalakkan gangguan pemakanan. Kegagalan memenuhi tanggungjawab itu boleh menyebabkan syarikat dikenakan denda sehingga lima peratus daripada perolehan global mereka atau Aus$109 juta (US$78 juta), mengikut jumlah yang lebih tinggi.
Undang-undang itu akan berkuat kuasa dalam tempoh 12 bulan. Menteri Komunikasi, Anika Wells, berkata syarikat teknologi besar tidak lagi boleh mengelak daripada tanggungjawab memastikan keselamatan warga Australia di platform mereka, dan kerajaan akan meminta mereka bertanggungjawab sekiranya gagal berbuat demikian.
Beliau berkata undang-undang itu bertujuan memberi rakyat Australia kawalan dan pilihan yang lebih besar terhadap kandungan yang mereka serta orang tersayang lihat dan akses dalam talian.
Pembangkang konservatif Australia sebelum ini berikrar akan menentang undang-undang itu “setiap langkah”, dengan alasan ia memberi kerajaan kuasa terlalu besar untuk mengawal kebebasan bersuara. Duta Amerika Syarikat ke Australia, David Brat, turut memberi amaran pada Rabu bahawa undang-undang itu boleh mendorong platform menapis ucapan yang sah.
Dalam hantaran di X, Brat berkata Amerika Syarikat, sebagai pelabur asing terbesar Australia, bimbang peraturan itu mengenakan beban pematuhan yang tidak seimbang kepada syarikat Amerika berbanding pesaing mereka.
Australia memperkenalkan undang-undang bertaraf pertama di dunia tahun lalu yang melarang kanak-kanak bawah 16 tahun menggunakan beberapa aplikasi media sosial. New Zealand, United Kingdom, Perancis dan Turkiye antara negara yang menyatakan hasrat untuk mengikuti langkah itu.
Bagaimanapun, data aplikasi kawalan ibu bapa Qustodio pada Ogos menunjukkan penggunaan aplikasi seperti Instagram dan TikTok oleh golongan bawah 16 tahun di Australia meningkat meskipun larangan itu berkuat kuasa.