Eman Manan ‘terasa hati’ asyik pegang golok dan keris

Sumber: Harian Metro
Eman Manan ‘terasa hati’ asyik pegang golok dan keris
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Datuk Eman Manan, secara berseloroh mengakui kadangkala ‘terasa hati’ apabila sering diberikan watak orang kampung, sedangkan pelakon lain tampil bergaya dengan kereta mewah.

Bagaimanapun, pelakon berusia 68 tahun itu berkata, perasaan berkenaan sekadar gurauan dan tidak pernah disimpan dalam hati. Katanya, jiwa beliau lebih dekat dengan naskhah yang menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu serta penggunaan senjata tradisional seperti golok, parang dan keris.

“Kadang-kadang saya ‘marah’ juga penerbit dan pengarah ini. Kalau saya saja, dia bagi golok, keris dan cangkul, sedangkan pelakon lain dia bagi kereta besar, kereta sport, Porsche dan Ferrari.

“Apalah aku ini dengan golok, parang, keris dan lembing dalam sawah serta sungai. Kadang-kadang terasa hati juga, tapi rasa terasa hati itu macam itu saja, tidak marah,” katanya kepada Harian Metro.

Eman berkata, beliau membesar di kampung, dikelilingi sawah padi dan sampan, selain golok, parang, keris serta gelanggang. Latar kehidupan itu, katanya, menjadikan watak sedemikian lebih serasi dengannya dan dekat dengan penonton Melayu.

Beliau turut mengakui agak gementar jika ditawarkan watak lelaki kaya atau bergaya kerana bimbang tidak dapat menampilkan perwatakan itu dengan berkesan di layar perak. Eman berkata, beliau risau penonton akan mempersoalkan gaya lakonannya jika membawa watak orang kaya.

“Jadi, letak saya di sawah, bukit, hutan atau sungai dan bagi keris, itu okeylah. Tapi bila saya tengok wajah sendiri, rasanya kacak juga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Eman kembali membawakan watak antagonis sebagai Raja Iskandar dalam filem aksi terbaharu, Takluk 2: Op Daulat, yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara hari ini.