ASEAN perlu tarik lebih banyak modal swasta untuk biayai infrastruktur

Sumber: Astro Awani
ASEAN perlu tarik lebih banyak modal swasta untuk biayai infrastruktur
Gambar: Astro Awani

KUALA LUMPUR: ASEAN perlu menarik lebih banyak pelaburan swasta bagi membiayai pembangunan infrastruktur kerana dana awam dijangka hanya memenuhi kira-kira 45 peratus daripada keperluan rantau ini hingga 2040, kata Bank Pembangunan Asia (ADB) pada Persidangan Prospek Ekonomi Kebangsaan di sini hari ini.

Ahli Ekonomi ADB, Milan Thomas berkata sumber domestik perlu digerakkan sebagai sebahagian daripada usaha itu. Dana awam pula boleh disalurkan secara terpilih bagi mengurangkan risiko projek dan menggalakkan penyertaan pelabur swasta.

“Mobilisasi sumber domestik perlu menjadi sebahagian daripada usaha ini. Dana awam boleh digunakan secara selektif untuk membawa masuk modal swasta terutamanya bagi tujuan pengurangan risiko,” katanya.

Persidangan berkenaan dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER). ADB menganggarkan ASEAN memerlukan US$7.1 trilion (US$1=RM4.1) bagi pelaburan infrastruktur dari 2026 hingga 2040, bersamaan kira-kira US$476 bilion setahun.

Pada tahap pelaburan semasa, pembiayaan awam dianggarkan menampung 45 peratus keperluan itu, sekali gus meninggalkan jurang pembiayaan sekitar US$264 bilion setahun, menurut Thomas.

Sektor elektrik merangkumi kira-kira separuh daripada keperluan pelaburan rantau ini, termasuk bagi penjanaan dan penghantaran tenaga, penyimpanan serta sambungan rentas sempadan. Hampir US$600 bilion lagi diperlukan untuk infrastruktur digital, termasuk rangkaian jalur lebar dan pusat data.

Thomas turut menyatakan ADB memperuntukkan US$5 bilion bagi inisiatif Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid) untuk meningkatkan integrasi grid menjelang 2030. Inisiatif itu akan membolehkan negara anggota berdagang tenaga elektrik merentasi sempadan dan menggunakan lebih banyak sumber penjanaan tenaga.