AS cadang tarif sehingga 18 peratus ke atas barangan Malaysia
KUALA LUMPUR — Amerika Syarikat (AS) mencadangkan tarif tambahan sehingga 18 peratus ke atas barangan Malaysia susulan dapatan bahawa dasar perindustrian dan amalan pembuatan negara ini menyumbang kepada lebihan kapasiti serta pengeluaran berstruktur yang, menurut Washington, membebankan atau menyekat perdagangan AS.
Malaysia ialah antara 14 ekonomi yang berdepan cadangan tarif di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974. Kadar tarif utama yang dicadangkan bagi ekonomi terbabit adalah antara 15 hingga 35 peratus. Ekonomi lain yang turut terlibat termasuk China, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Jepun dan Kesatuan Eropah (EU).
Dalam kenyataan pada Rabu, Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer berkata, hasil siasatan menunjukkan strategi perindustrian tertentu yang digunakan rakan dagang telah mewujudkan persaingan tidak adil bagi pengeluar Amerika.
Beliau berkata, strategi yang diamalkan selama beberapa dekad itu merangkumi tumpuan kepada sektor pembuatan, pengekangan gaji dan buruh serta pemberian sokongan kewangan dan bantuan lain. Menurutnya, penggunaan input daripada ekonomi bukan pasaran dan amalan yang memesongkan pasaran turut menyumbang kepada imbangan perdagangan yang memihak kepada rakan dagang, selain menghakis asas pembuatan Amerika.
Dapatan Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) berhubung Malaysia tertumpu kepada empat bidang. Antaranya rancangan perindustrian dan sektoral untuk memperluas pembuatan serta eksport, pembiayaan keutamaan melalui program pembiayaan nasional, dan tindakan yang dianggap tidak mencukupi untuk menangani lebihan kapasiti yang dikaitkan dengan import serta pelaburan asing dari ekonomi bukan pasaran.
Bidang keempat yang dikenal pasti ialah perlindungan buruh yang dikatakan tidak memadai. USTR turut menyebut teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta industri automotif sebagai sektor yang menimbulkan kebimbangan khusus.
Menurut laporan itu, dasar berkaitan boleh mengehadkan peluang komersial bagi pengeluar dan pengeksport AS di Malaysia dan pasaran lain. Washington berkata, langkah yang dicadangkan bertujuan menangani amalan perdagangan yang dianggap tidak adil serta mengukuhkan daya saing pengeluar Amerika.
Bagi Malaysia, tarif tambahan sehingga 18 peratus dicadangkan ke atas barangan negara ini, selain duti sedia ada jika berkenaan, dengan pengecualian untuk produk tertentu. USTR berkata kadar itu mengambil kira penolakan tarif sedia ada di bawah Seksyen 301 dan pengecualian bagi barangan tertentu.
Cadangan berkenaan turut mengambil kira duti sedia ada di bawah Seksyen 301 dan 232, rundingan yang sedang berlangsung dengan Malaysia serta komitmen di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas AS-Malaysia. Bagaimanapun, USTR mencadangkan supaya tarif sehingga 25 peratus dipertimbangkan selepas ditolak tarif sedia ada di bawah Seksyen 301 sekiranya rundingan dan komitmen berkenaan didapati tidak memuaskan.
Greer berkata, pemimpin termasuk Donald Trump, Joe Biden, Xi Jinping dan Emmanuel Macron telah mengakui sejak 2016 bahawa lebihan kapasiti dan pengeluaran berstruktur membawa ancaman kepada ekonomi global.
USTR turut merekodkan pendirian Malaysia bahawa negara ini mengamalkan sistem perdagangan berasaskan peraturan dan tidak menyumbang kepada lebihan kapasiti berstruktur. Kerajaan Malaysia menegaskan ekosistem pembuatannya penting kepada rantaian bekalan global dan AS.
Malaysia juga menyatakan model ekonominya berasaskan pasaran serta responsif terhadap permintaan global. Eksport negara, menurut pendirian itu, melengkapi dan bukannya bersaing dengan pengeluaran domestik AS.
Notis berkenaan menyatakan siasatan terhadap Malaysia dimulakan pada 11 Mac 2026. USTR mengadakan rundingan dua hala dengan kerajaan Malaysia pada 12 Mei, namun rundingan itu tidak menyelesaikan kebimbangan Washington.
Pihak berkepentingan diberi tempoh sehingga 5 Januari 2027 untuk mengemukakan ulasan bertulis dan permohonan menyertai sesi pendengaran awam. Sesi itu dijadualkan bermula pada 25 Januari 2027 di Washington. - Bernama