ANM bangunkan sistem arkib digital berasaskan AI, dijangka siap 2027

ISKANDAR PUTERI: Arkib Negara Malaysia (ANM) sedang membangunkan sistem pengurusan rekod dan arkib digital bersepadu kecerdasan buatan (AI) bagi memudahkan akses kepada bahan sejarah negara. Sistem dikenali sebagai Digital Record and Archives Management Systems (D-ReAMS) itu dijangka siap pada 2027.
Ketua Pengarah ANM, Zaidin Mohd Noor, berkata D-ReAMS akan menggantikan sistem sedia ada, COMPASS. Pengguna bukan sahaja boleh mencari bahan menggunakan kata kunci, malah mendapatkan ringkasan sesuatu peristiwa sejarah berdasarkan rekod arkib.
“D-ReAMS ini kita akan menggunakan ciri-ciri yang ada berkaitan dengan AI supaya memudahkan akses, carian dan maklumat berkaitan dengan sesuatu isu,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Pengkisahan Sejarah Institusi Mufti Negeri Johor dan Pelancaran Buku “Legasi Mufti-Mufti Johor 1896-1999” di sini pada Rabu.
Zaidin berkata, sistem itu juga mampu menghasilkan ringkasan sejarah daripada bahan arkib berbentuk audiovisual. ANM setakat ini telah mendigitalkan lebih 11 juta imej rekod, termasuk fail dan bahan audiovisual, sejak usaha pendigitalan bermula pada 1996.
Koleksi audiovisual berkenaan merangkumi rakaman peristiwa, sejarah lisan, pengisahan sejarah, wawancara, konvensyen, bengkel dan seminar. Bahan itu disimpan dalam pelbagai format, antaranya gambar foto, kaset, pita sistem video rumah (VHS), piring hitam, cakera padat, cakera video digital dan betacam.
Beliau berkata ANM turut bekerjasama dengan beberapa negeri, termasuk Majlis Agama Islam Negeri Perak, untuk mendigitalkan rekod berkaitan institusi keagamaan. Di Johor, pendigitalan sebahagian rekod Setiausaha Kerajaan Negeri dijalankan dari 2020 hingga 2023, termasuk rekod berkaitan Majlis Agama Islam dan institusi mufti.