Apple dilapor uji macOS pada iPad untuk kegunaan dalaman

CUPERTINO: Apple dilaporkan menjalankan ujian dalaman bagi membolehkan iPad menggunakan sistem operasi desktop macOS, menurut laporan Amanz. Namun, syarikat teknologi Amerika Syarikat itu tidak merancang untuk mengkomersialkan macOS pada tablet berkenaan dalam masa terdekat.
Wartawan teknologi Bloomberg, Mark Gurman, berkata dalam podcast Power On bahawa ujian itu munasabah kerana beberapa model iPad terkini menggunakan cip siri M keluaran Apple. Cip berkenaan berkongsi seni bina dengan komputer MacBook, iMac, Mac mini dan Mac Studio.
Perkembangan itu menghidupkan semula spekulasi yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu mengenai kemungkinan Apple menawarkan pengalaman macOS pada iPad, sekali gus memenuhi permintaan pengguna.
Apple juga dilihat semakin merapatkan jurang antara kedua-dua platform itu. Pada Oktober lalu, syarikat berkenaan memperkenalkan MacBook Pro dengan paparan PROLED XDR yang menyokong sentuhan.
Sementara itu, iPadOS 26 membawa beberapa ciri yang lebih menyerupai macOS, termasuk sistem pengurusan tetingkap dan antara muka yang lebih berorientasikan produktiviti.
Bagaimanapun, Gurman berkata ujian itu setakat ini hanya untuk kegunaan dalaman. Menurut beliau, Apple tidak sedang berusaha membawa macOS ke pasaran iPad dalam masa terdekat.
Ujian berkenaan berkemungkinan bertujuan menilai keupayaan perkakasan serta kesesuaian antara muka desktop pada tablet. Ia juga mungkin membantu Apple memperkenalkan lebih banyak ciri dan aplikasi profesional Mac ke dalam iPadOS secara berperingkat.