Anwar Ibrahim di tangga kelapan pemimpin paling berpengaruh di Asia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berada di kedudukan kelapan dalam senarai pemimpin paling berpengaruh di Asia, dengan skor 46 dalam kajian Asia’s Most Influential Leaders yang memetik penarafan ABC Asia.
Presiden China, Xi Jinping, mendahului senarai dengan skor 100. Beliau diikuti Perdana Menteri India, Narendra Modi, yang memperoleh 79 mata, dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, dengan 74 mata.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, turut mencatat 74 mata, manakala Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, memperoleh 68 mata. Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung, berada di kedudukan seterusnya dengan 52 mata, diikuti pemimpin Vietnam, To Lam, dengan 50 mata.
Kedudukan Anwar dalam senarai itu hadir ketika Malaysia terus mempergiat hubungan diplomatik dengan pelbagai negara dan mengambil peranan lebih aktif dalam menangani cabaran geopolitik serta ekonomi serantau.
Antara perkembangan yang mendapat perhatian ialah penglibatan Malaysia dalam usaha meredakan ketegangan antara Kemboja dan Thailand ketika negara mempengerusikan ASEAN pada 2025.
Malaysia turut memperkukuh kerjasama serantau menerusi platform ASEAN dalam bidang keselamatan, perdagangan, pelaburan, ekonomi digital dan kestabilan geopolitik.
Penglibatan Anwar dalam Sidang Kemuncak APEC di Shenzhen, China, pada November ini juga mencerminkan usaha Malaysia untuk meluaskan kerjasama perdagangan dan pelaburan serta hubungan strategik dengan rakan antarabangsa.