Jolie dan Pitt selesai pertikaian undang-undang ladang anggur Perancis

Sumber: Astro Awani
Jolie dan Pitt selesai pertikaian undang-undang ladang anggur Perancis
Gambar: Astro Awani

LOS ANGELES: Angelina Jolie dan Brad Pitt mencapai penyelesaian luar mahkamah berhubung pertikaian mengenai penjualan pegangan Jolie dalam ladang anggur milik bersama mereka di Perancis, menurut kenyataan bersama wakil kedua-dua pihak pada Rabu.

Kenyataan itu memaklumkan keputusan berkenaan dibuat demi kepentingan keluarga. Namun, kedua-dua pihak enggan mengulas lanjut mengenai syarat penyelesaian. Perkembangan itu menamatkan satu lagi episod pertikaian undang-undang yang berlarutan selepas perceraian mereka.

Pertikaian tersebut berkaitan Chateau Miraval, ladang anggur dan estet mewah di Perancis yang dibeli pasangan itu pada 2008. Mereka kemudian berkahwin di lokasi sama pada 2014.

Pitt mendakwa Jolie menjual pegangannya dalam syarikat itu kepada seorang ahli perniagaan Rusia tanpa persetujuannya. Kedua-duanya dikatakan sebelum ini bersetuju bahawa sebarang penjualan saham perlu mendapat kebenaran bersama. Pelakon berusia 62 tahun itu turut mendakwa tindakan Jolie memaksanya bekerjasama dengan pihak yang tidak dikenalinya.

Jolie memfailkan saman balas dengan mendakwa Pitt mendera beliau dan anak-anak mereka ketika penerbangan persendirian dari Perancis ke Los Angeles pada 2016. Menurut dokumen mahkamah yang dipetik media antarabangsa, beliau mendakwa Pitt memegang kepalanya secara kasar dan bertindak agresif terhadap dua anak mereka.

Jolie turut menuduh Pitt memaki hamun ahli keluarga serta mencurahkan minuman beralkohol semasa penerbangan itu. Pitt menafikan semua dakwaan berkenaan dan tidak pernah didakwa selepas siasatan polis dijalankan.

Pasangan yang pernah digelar “Brangelina” itu mula menjalin hubungan selepas membintangi filem *Mr & Mrs Smith* pada 2005. Mereka berpisah pada 2016 dan memuktamadkan perceraian pada penghujung tahun lalu, selepas pertarungan undang-undang yang berlarutan selama lapan tahun.

Bagaimanapun, tindakan undang-undang Pitt terhadap syarikat minuman yang memiliki pegangan dalam Château Miraval masih diteruskan, menurut laporan BBC.