Aliran deras, air pasang dan hujan lebat punca benteng RTB Bukit Changgang pecah

SHAH ALAM: Aliran air deras dari Hulu Langat, air pasang besar dan hujan lebat dikenal pasti sebagai faktor benteng Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bukit Changgang, Kuala Langat pecah kira-kira 6 pagi semalam, menyebabkan air melimpah ke kawasan kampung dan berlaku banjir.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor merekodkan taburan hujan sebanyak 95 milimeter di kawasan berkenaan.
Penduduk terjejas dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang yang dibuka semalam. Setakat 8 pagi ini, seramai 783 mangsa daripada 241 keluarga ditempatkan di PPS itu, katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ashrul Riezal, pihaknya membuka dua pos kawalan di kawasan terjejas dan menyediakan lori serta bot untuk membantu pemindahan penduduk, khususnya warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), bayi dan kanak-kanak.
Pemantauan dan rondaan berkala setiap satu jam dijalankan sejak semalam. Paras air pada pagi ini dilaporkan sedikit surut berbanding tengah malam tadi.
JPS sedang membaiki dan menutup bahagian benteng yang pecah, dengan kerja disasarkan selesai dalam tempoh 24 jam, tertakluk kepada keadaan cuaca. Dua unit pam turut digerakkan untuk mempercepatkan proses mengepam air keluar, selain pam statik sedia ada.
Ashrul Riezal menasihatkan penduduk supaya tidak bermain air banjir, terutama di kawasan parit, lubang dan kawasan berarus, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.