Guru diperintah bayar RM1.5 juta kepada 15 mangsa skim jualan emas

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang guru membayar RM1.5 juta kepada 15 mangsa skim jual beli emas selepas menolak pembelaannya bahawa beliau hanya bertindak sebagai ejen.
Hakim Dr Mohammad Johan Lee membenarkan tuntutan plaintif, yang kebanyakannya penjawat awam dan mengalami kerugian selepas melabur dalam skim berkenaan. Kebanyakan mangsa juga guru serta rakan kepada orang kena saman (OKS).
Peguam yang mewakili semua mangsa, Mahmud Jumaat, berkata anak guamnya tertarik dengan tawaran OKS, yang menjadi ejen skim itu, untuk membeli emas pada harga jauh lebih rendah berbanding harga pasaran, selain menjanjikan pulangan lumayan.
“Dalam pembelaannya, guru berkenaan mendakwa beliau hanya seorang ejen atau orang tengah. Beliau memaklumkan hanya mempromosikan jual beli emas bagi pihak penganjur skim, Siti Hajartul Haini Abd Hamid, 39,” katanya.
Menurut Mahmud, tawaran itu mendorong setiap plaintif mengeluarkan wang sehingga ratusan ribu ringgit untuk melabur. Ejen berkenaan mendakwa tugasnya hanya menyampaikan maklumat serta tawaran jual beli emas daripada Siti Hajartul kepada pembeli.
Mahkamah menolak pembelaan itu selepas mendapati wujud hubungan kontraktual antara guru berkenaan dengan plaintif. Pembayaran bagi pembelian emas dibuat secara langsung ke akaun peribadi dan akaun perniagaannya.
“Mahkamah turut mendapati guru berkenaan bertanggungjawab terhadap kegagalan menyempurnakan obligasi kontraktualnya dan memulangkan wang pembelian yang sudah diterima daripada plaintif,” kata Mahmud.
Beliau berkata, jumlah RM1.5 juta itu ditetapkan berdasarkan wang pembelian yang dapat dibuktikan oleh 15 plaintif sepanjang perbicaraan.
Pada April lalu, Siti Hajartul didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu dalam penjualan emas yang tidak wujud, membabitkan kerugian RM173,500 pada 2024.
Sebelum ini, media melaporkan wanita yang dikehendaki polis berhubung penipuan jualan emas dengan kerugian jutaan ringgit itu ditahan selepas tiba dari Dubai di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 22 Oktober 2024.
Wanita itu dipercayai menipu lebih 100 mangsa yang mengalami kerugian melebihi RM110 juta, melalui tawaran emas 916 pada harga lebih rendah daripada pasaran. Mangsa termasuk kakitangan sebuah unit di hospital awam di Lembah Klang dan guru di beberapa negeri.
Ada pelabur yang sanggup meminjam wang daripada saudara-mara, rakan serta pemberi pinjaman tanpa lesen untuk merebut tawaran berkenaan.