JAINJ siasat kemungkinan kontraktor buang al-Quran di Ulu Tiram

ISKANDAR PUTERI: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) tidak menolak kemungkinan bungkusan plastik berisi al-Quran dan buku agama yang ditemui di Ulu Tiram dibuang kontraktor yang diberi amanah menguruskan pelupusan bahan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata siasatan turut meneliti kemungkinan itu susulan laporan dan dakwaan yang diterima. Jumlah bahan yang ditemui juga agak besar berbanding kes membabitkan orang awam, yang lazimnya berskala kecil.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini. Katanya, kes itu disiasat sebagai kes jenayah sivil mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan, selain siasatan berasingan oleh Unit Penguat Kuasa JAINJ.
“Kita kesal dengan kejadian ini yang jelas menunjukkan sikap tidak menghormati serta sengaja mencemarkan kesucian agama Islam,” katanya.
Mohd Fared berkata, pelantikan kontraktor terbabit akan ditarik balik sekiranya mereka didapati bersalah. Beliau turut menggesa polis dan penguat kuasa agensi berkaitan mempercepat siasatan supaya pihak yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan.
Dalam pada itu, orang ramai yang mahu melupuskan bahan bercetak mengandungi kalimah al-Quran atau ayat suci dinasihatkan menghubungi Pejabat Kadi Daerah masing-masing dan tidak menguruskannya sendiri.
Menurut Mohd Fared, beliau akan mengarahkan semua pejabat kadi memudahkan urusan dengan menerima bahan berkenaan terlebih dahulu sebelum mengagihkannya ke pusat pelupusan bertauliah. Langkah itu bertujuan mengelakkan kesulitan kepada orang ramai dan perbuatan membuang bahan berkenaan sewenang-wenangnya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Victor Genason, berkata semalam polis membuka kertas siasatan berhubung penemuan 22 naskhah al-Quran serta pelbagai buku agama dalam bungkusan plastik di kawasan itu. Pengarah JAINJ, Datuk Mohd Radzi Mohd Amin, turut memaklumkan pihaknya menjalankan siasatan susulan penemuan berkenaan.