Ajai bangga lihat perubahan positif Mamat Exists

Sumber: Harian Metro
Ajai bangga lihat perubahan positif Mamat Exists
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Pemain keyboard Exists, Ajai, meluahkan rasa syukur dan gembira apabila vokalis kumpulan itu, Mamat, selamat mengikat tali pertunangan dengan wanita pilihannya, Yana, pada 22 November lalu. Ajai, atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, 51, berkata beliau dan anggota Exists lain bangga melihat perubahan positif pada Mamat, atau Mohd Ali Kamarudin, 48.

Menurut Ajai, Mamat kini kelihatan lebih segar selain lebih menjaga tutur kata dan adab. Beliau berkata, perkara itu selari dengan doa serta harapan mereka terhadap rakan seperjuangan yang dianggap seperti adik sendiri.

“Kami abang-abang semua rasa bangga dengan apa yang kami lihat sekarang. Maksudnya apa yang kami doakan dan impikan menjadi realiti.

“Anda pun boleh nampak daripada wajah dia yang segar, kesungguhan dia, cara dia bercakap serta adab dia sekarang. Saya rasa lebih bagus begini sebab sekurang-kurangnya dia tak lagi sunyi, malah makin kacak sekarang,” katanya.

Ajai berkata mereka sentiasa mendoakan kebahagiaan Mamat, terutama kerana beliau kini sudah bergelar datuk. Katanya, Mamat memerlukan seseorang untuk menjaganya memandangkan anak-anaknya sudah besar.

“Saya rasa dia memang perlukan orang yang menjaga dia. Anak-anak pun sudah besar, malah sudah bercucu pun. Dalam Exists, dia seorang sahaja yang sudah menjadi datuk, kami semua belum lagi. Jadi harapan kami moga kali ini kekal sampai ke jannah,” katanya.

Dalam pada itu, Ajai berseloroh Mamat bijak menyimpan rahsia sebelum memaklumkan berita pertunangannya menerusi aplikasi WhatsApp kumpulan mereka. Katanya, anggota Exists akan mengadakan sesi makan untuk meraikan Mamat apabila semua berkelapangan.

Ajai turut mengusik Mamat supaya tidak bertunang terlalu lama dan terus berkahwin. Bagaimanapun, katanya, Mamat mahu mengikut cara yang betul untuk berkenalan terlebih dahulu.

Mamat pernah berkahwin dengan Marshila Mustapa Kamal pada 2001 sebelum bercerai pada 2009. Mereka dikurniakan tiga anak, iaitu Aleeya Mysara, 24, Mohd Eiki Daniell, 22, dan Dylea Mysara, 20. Mamat juga mempunyai seorang cucu perempuan berusia lima tahun hasil perkahwinan anak keduanya, Eiki Daniell.