Ahmad Zahid dan empat pemimpin BN-UMNO menghadap Tuanku Muhriz
SEREMBAN - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengetuai empat lagi pemimpin BN-UMNO menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap di sini pada Khamis.
Kenderaan yang dinaiki Timbalan Perdana Menteri itu tiba pada jam 3 petang. Ahmad Zahid sempat membuka tingkap dan melambai kepada media yang menunggu di luar istana sejak jam 12 tengah hari.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN merangkap Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi); serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Pada Ahad lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata BN menyerahkan segala urusan dan kuasa pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Tuanku Muhriz. Beliau turut menegaskan BN tidak pernah melanggar perlembagaan negeri dalam perkara itu.
Ahmad Zahid juga berharap kemelut politik di negeri berkenaan dapat diselesaikan supaya kerajaan negeri boleh membentangkan dan meluluskan belanjawan tahun depan.
Sebelum itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, menghadap Tuanku Muhriz sekitar jam 1.18 petang.
Tuanku Muhriz difahamkan telah menerima menghadap Ismail sebanyak tiga kali sejak Barisan Nasional mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar. Terdapat desas-desus bahawa Ismail akan mengemukakan surat peletakan jawatan, namun perkara itu belum dapat disahkan.